Bayangkan Tony Hawk merenda satu perbualan dengan Valentino Garavani. Apa agaknya yang terkandung dalam perbualan tersebut? Mungkinkah Tony akan melabuhkan bicaranya tentang ‘sejarah’ dia memakai kasut sniker VANS yang pertama pada akhir tahun 70-an? Betapa ‘cool-nya’ sniker VANS sampaikan menitiskan cebisan idea buat Maison Valentino, menghasilkan rangkaian kerjasama Valentino X VANS?
Tidak mustahil kita bina perkiraan tersebut dalam kotak fikiran. Nothing is impossible, anyway.
Ya, kolaborasi eksklusif antara Valentino Garavani dan VANS kini sudah berada di pasaran. Kolaborasi yang berakar kepada keaslian atau sifat autentik, mencungkil apa yang terbuni dalam kejatian dan pertembungan dua dunia yang berbeza namun saling melengkapi. Semangat autentik VANS ‘bersahabat’ dengan ketulenan jelas identiti Maison Valentino.
Kolaborasi eksklusif ini mula dipertontonkan di atas pentas peragaan Valentino Le Méta Théâtre Des Intimités untuk himpunan musim luruh/dingin 2025 oleh Pengarah Kreatif Alessandro Michele – di Paris, pada bulan Mac yang lalu. Sniker eksklusif ini terlihat sebagai penyempurna gaya untuk beberapa looks terpilih.
Di sebalik ‘binaan’ kolaborasi ini adalah pengisian interpretasi baharu menerusi visi Alessandro Michele, dalam memberatkan siluet original Vans yang diperkenalkan pada tahun 1966. Ada sifat keaslian yang dinyatakan pada bentuk rekaan, yakni kekukuhan material kanvas pada bahagian atas kasut namun transformasi yang diperkenalkan adalah kepelbagaian rona serta corak. Valentino X Vans memelihara rupa ikonik kasut ini – rekaan low-top serta lapik tapak luar getah – yang tidak terhambat dalam menjadi sniker pilihan, sungguhpun berganti generasi.
Rangkaian kolaborasi ini tampil dalam enam variasi untuk lelaki dan perempuan. Tersedia dalam corak rencaman dan kemasan lapik dalam jenama bersama. Antara edisi lain yang turut diperkenalkan adalah motif Valentino Le Chat de La Maison yang secara eksklusif boleh didapati di butik-butik Valentino, di atas talian serta butik flagship VANS di Oxford Street, London. Edisi ini malah hadir bersama pek istimewa yang dihiasi motif checkerboard VANS dan diimaginasikan semula dengan bancuhan corak Valentino VLogo Signature.
Seandainya anda sudah membeli Valentino Garavani X VANS ini, permintaan kami hanyalah satu – campak kasut itu ke lantai dan lihat keupayaannya land upright. Puas!