Daripada bapa berpengalaman hinggalah ke ayah muda yang masih menyesuaikan diri, tujuh figura lelaki ini mewakili wajah baharu keibubapaan moden. Dalam era digital dan landskap peranan gender yang semakin berkembang, mereka tampil sebagai simbol lelaki masa kini, tidak gentar menunjukkan kasih sayang serta sentiasa hadir dan komited memberi yang terbaik buat keluarga tercinta. Di sebalik kemunculan mereka di skrin, pentas dan permaidani merah, ketujuh-tujuh bapa selebriti ini sedang mendefinisikan semula makna sebenar menjadi seorang ayah.
Sentiasa tampil bergaya dan mesra, Awal Ashaari bukan sahaja seorang ikon fesyen Malaysia dan pengacara prolifik, dia juga bapa penyayang kepada dua puteri kesayangan, Lara Alana dan Lyla Amina, hasil perkongsian hidup bersama Scha Alyahya. Sama ada menemani Lara ke acara sekolah atau berkongsi rutin malam yang ringkas, Awal memperlihatkan sisi keibubapaan yang seimbang antara kelembutan dan kebijaksanaan seorang lelaki moden.
Aiman Hakim kini menyerlah sebagai bapa muda yang penyayang dan penuh dedikasi. Ayah kepada dua cahaya mata, Isaac Raees dan Inara Raisa bersama Zahirah Macwilson, Aiman kerap berkongsi momen manis bersama anak-anaknya sama ada di majlis hari jadi, di taman, mahupun saat santai menjelang waktu tidur. Dikenali dengan cita rasa fesyen yang simple namun berimpak, Aiman menggabungkan gaya dan parenting dengan sentuhan yang autentik dan menginspirasikan.
Di layar perak, Hairul Azreen dikenali sebagai figura lasak dan berani, namun di rumah dia adalah bapa penyayang yang sentiasa hadir untuk dua permata hatinya bersama Hanis Zalikha: Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah. Di sebalik imej aksi, Hairul membuktikan bahawa keibubapaan adalah ruang untuk menunjukkan kasih sayang yang mendalam dan kekuatan sebenar seorang lelaki.
Sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara serba boleh, jadual Alif Satar sememangnya padat. Namun di sebalik semua itu, peranannya sebagai bapa kepada Alisha, Ariana dan Muhammad ‘Ali kekal sebagai keutamaan. Setiap momen bersama keluarga dikongsikan dengan penuh cinta dan keikhlasan. Alif membuktikan bahawa walau sesibuk mana sekalipun, seorang bapa tetap boleh menjadi sumber inspirasi dan kekuatan di rumah.
Sebagai bintang drama TV yang telah lama mewarnai dunia hiburan tempatan, Shukri Yahaya bukan hanya menyerlah di kaca televisyen, tetapi juga di ruang rumahnya sendiri. Bersama isterinya Tya Adnan, Shukri membesarkan keluarga kecil mereka dengan penuh kasih, keikhlasan dan nilai-nilai yang membumi.
Sejak kelahiran cahaya mata sulungnya, Nur Fatima Aisya, hasil perkahwinannya bersama bekas isteri Fazura, Fattah Amin melalui satu perjalanan penuh makna sebagai seorang bapa. Meskipun rumah tangga mereka tidak lagi seperti dahulu, keutamaan Fattah terhadap Fatima tidak pernah berubah. Dia sentiasa meluangkan masa bersama anak tersayang, membuktikan bahawa cinta seorang bapa itu tidak bersyarat.
Masih baharu dalam fasa keibubapaan bersama isterinya, pempengaruh dan ikon gaya Jane Chuck, Han Pin membawa pendekatan yang tenang dan autentik dalam dunia seorang bapa moden. Tidak seperti kebanyakan bapa selebriti lain dalam senarai ini, dia lebih bersifat peribadi, namun kehadirannya dalam dunia fesyen dan kandungan digital tetap menyerlah dan memancarkan aura lelaki yang steady.