Aktor dan pengarah Bront Palarae mencuri perhatian apabila dirinya sah tampil membintangi filem terbaharu 'Ghost in The Cell'. Selain Bront, pengarah filem Malaysia Ho Yuhang juga turut membintangi filem yang sama arahan Joko Anwar tersebut.
Kedua-dua mereka menyatakan peluang emas berkolaborasi bersama pengarah hebat Joko Anwar merupakan satu hal yang tidak boleh dipersiakan. Menurut mereka, proses pengambaran yang dilalui menjadi sesi percambahan ilmu bersama dalam mengorak langkah lebih besar di dunia perfileman.
'Ghost in The Cell' turut menampilkan bersama deretan aktor ternama Indonesia. Antara nama yang terlibat adalah Abimana Aryasatya, Rio Dewanto, Lukman Sardi, Tora Sudiro, Yoga Pratama dan Arswendy Bening Swara.
Selain itu, seorang aktor baharu yakni Magistus Miftah turut diperkenalkan. Beliau telah berjaya melalui saringan sesi uji bakat secara terbuka daripada lebih 700 orang peserta yang hadir.
Jelas Joko, dia berusaha mencari kelaianan. Latar beberapa filem seram arahannya sebelum ini seperti Perempuan Tanah Jahanam dan Pengabdi Setan adalah berkisarkan kehidupan di desa. Selain itu, ia memungkinkan watak-wataknya untuk lari sekiranya berjumpa hantu. Dari situ beliau mendapat cetusan ilham untuk menghasilkan satu lagi filem seram tetapi bergenre komedi dengan latar kejadiannya di dalam penjara. Tujuannya adalah untuk mencari relung berbeza dalam eksperimentasi pengarahan.
Tambah Joko lagi, “Ketika hantu muncul, mereka (banduan) harus bersama-sama bertahan hidup di dalam sel penjara yang mereka tinggal.”
'Ghost In the Cell' mengisahkan tentang empat banduan yang mengalami kejadian misteri di dalam sel penjara mereka. Eksplorasi tentang hantu mistik yang menganggu mereka kemudian bermula. Kesemua mereka perlu bersama-sama mengungkap kebenaran di sebalik kejadian aneh yang berlaku.
'Ghost in the Cell' merupakan hasil kerja syarikat produksi milik Joko dan Tia, Come and See Pictures.
Media perfileman antarabangsa melaporkan 'Ghost in the Cell' adalah antara filem arahan Joko yang dibiayai bersama oleh syarikat SK Global. Mereka juga adalah pasukan produksi sama yang menerbitkan Crazy Rich Asians; CJ Entertainment dari Korea Selatan. Selain itu projek ini telah mendapat usaha sama Base Entertainment dan Rapi Films dari Indonesia.