LANGGAN

Ulasan Filem The Long Walk

Sebuah distopia yang menggetarkan jiwa.
Published: September 22, 2025

The Long Walk bukanlah filem biasa tentang peperangan atau cerita berkisarkan kelangsungan hidup manusia yang ingin lari daripada norma. Ia dihasilkan dengan sebuah jalan cerita sinematik yang mencengkam, brutal, namun pada masa sama tetap penuh emosi dan cerita kemanusiaan.

Diadaptasi daripada novel klasik Stephen King, filem ini membawa penontonnya ke pintu dunia alternatif yang berbeza. Namun tetap disulami dengan kepentingan hubungan antara insan bergelar manusia.

Premis Mengerikan Namun Penuh Makna

Bayangkan sebuah pertandingan dianjurkan di mana ia memerlukan pesertanya berjalan kaki di versi distopia. Bunyinya mungkin tidak begitu mengancam atau kejam sehinggalah syarat untuk menangnya didedahkan iaitu para peserta mesti berjalan dengan kelajuan minimum 4.8 km/jam tanpa henti. Sesiapa sahaja yang memperlahankan langkah atau berhenti akan ditembak mati serta-merta. Hanya seorang sahaja akan pulang sebagai pemenang manakala 49 orang yang lain pasti akan mati sepanjang jalan.

Konsep yang kejam ini dihidupkan semula di layar lebar oleh pengarah Francis Lawrence (The Hunger Games). Beliau dilihat jelas tahu cara membina dunia distopia dengan sentuhan manusia yang menyentuh perasaan.

Dunia Tanpa Jalan Pulang

Filem ini membuka tirai ceritanya melalui babak Ray Garraty (lakonan Cooper Hoffman) seorang remaja yang menyertai pertandingan ini bersama watak-watak lain. Antaranya Peter McVries (David Jonsson), Gary Barkovitch (Charlie Plummer), Hank Olson (Ben Wang) dan Arthur Baker (Tut Nyuot).

Namun segalanya mula berubah apabila The Major (Mark Hamill), watak autoritarian yang mengetuai perjalanan pertandingan ini muncul dan menghukum peserta pertama secara kejam. Sejak saat itu, penonton dibawa masuk ke dalam atmosfera panik dan ketakutan yang tidak pernah surut sepanjang filem.

Namun menariknya, The Long Walk tidak bergantung pada klise filem distopia seperti pengkhianatan atau pemberontakan. Sebaliknya menonjolkan hubungan antara peserta yang berkembang dari sekadar pesaing kepada sahabat seperjuangan yang membantu antara satu sama lain. Walau hakikatnya hanya seorang sahaja yang akan hidup di titik penamat itu.

Naratif Yang Perlahan Namun Berkesan

Diarahkan dengan bersahaja namun isinya mendalam, Francis Lawrence memberi fokus kepada dialog dan perkembangan watak. Interaksi antara peserta menjadi cerminan kepada trauma yang dihadapi, harapan, ketakutan dan rasa kehilangan. Ini menjadikan filem ini lebih kepada eksplorasi psikologi manusia dalam situasi ekstrem berbanding sekadar tontonan kematian ngeri.

Namun begitu, risiko pendekatan ini ialah kemungkinan rasa bosan. Namun The Long Walk berjaya mengekalkan momentum naratif ini dengan bijak. Jalan ceritanya tidak pernah terburu-buru, namun juga tidak pernah membiarkan emosi penonton surut.

Lakonan Menghidupkan Cerita

Cooper Hoffman membuktikan dirinya bukan sekadar anak kepada legenda Philip Seymour Hoffman. Lakonannya sebagai Ray sangat meyakinkan, penuh nuansa serta dengan ekspresi emosi yang kompleks. Di sampingnya, David Jonsson menyerlah sekali lagi selepas peranannya dalam Alien: Romulus, memberi keseimbangan sempurna kepada Hoffman.

Kedua-dua pelakon ini membina kesefahaman yang kuat menjadikan hubungan mereka teras emosi kepada keseluruhan filem.

The Long Walk bukan hanya berkisar tentang kisah bertahan untuk hidup, tetapi pengertian mencari erti hidup itu sebelum menemui mati. Dalam dunia yang menindas dan tidak memberi peluang kedua kepada sesiapa sahaja, filem ini menggambarkan realiti manusia yang cuba memahami makna keberadaan mereka, satu langkah pada satu masa.

Bagi penggemar genre distopia atau adaptasi karya Stephen King, filem ini menawarkan kelainan. Ia tidak menjanjikan aksi bombastik, namun cukup memberikan pengalaman menonton yang bergerak perlahan, menggugah dan sukar dilupakan.


Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down