Tanpa perlu pengenalan lagi, kugiran Masdo yang cukup dikenali di persada muzik nusantara bakal menzahirkan sebuah konsert bersempena sepuluh tahun menjadi pemuzik. Konsert yang diberi nama "Al-Kisah 10 Tahun Kugiran Masdo" ini bakal diadakan pada Ogos nanti.
Konsert ini bakal dipentaskan di Idea Live arena KL dengan kapasiti sehingga 7000 orang dan tiket dengan harga bermula RM131 sehingga RM213 mula dijual Mei lalu. Masdo dalam satu majlis yang dinamakan Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap berlangsung Mei lalu meraikan lebih 200 peminat dan wakil media.
Dalam majlis serupa, MASDO turut membuat persembahan mini secara langsung dengan menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Dinda, Janji Manis, dan Bercanda di Malam Indah. Sepanjang berkarier Masdo sudah menghasilkan sebuah album berjudul Selamat Tinggal Pujaan dan EP rakaman langsung dari studio di Abbey Road.
Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dengan kerjasama Warner Music dan beberapa rakan rasmi termasuk ERA, Sinar, Gegar dan Astro Gempak. Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, menyatakan hasrat mereka untuk menyokong artis tempatan seperti MASDO yang mempunyai legasi kukuh.
Pembelian tiket boleh dibuat di ticket2u dan untuk maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi MASDO dan Hitman Solutions.