LANGGAN

Ulasan Teater: Fragments of Tuah

Persembahan yang menghidupkan semula nama ‘Tuah’
Published: May 30, 2026

Setiap tahun, KL Festival terus meraikan kecintaan terhadap budaya tempatan melalui pelbagai bentuk ekspresi kreatif. Tahun ini, antara karya yang paling mencuri perhatian ialah Fragments of Tuah. Sebuah teater monolog yang mengajak penonton menyelami makna di sebalik nama dan figura Hang Tuah yang sekian lama hidup sebagai simbol dalam sejarah Melayu.

Cerita Daripada Muzium Negara

Antara bahagian yang paling menarik perhatian adalah bagaimana persembahan ini membawa penonton melihat kembali bagaimana sejarah dibentuk melalui ruang muzium. Rujukan kepada patung Hang Tuah di Muzium Negara bersama ungkapan ikonik “Ta’Melayu Hilang di Dunia” menjadi simbol kepada bagaimana nama Tuah terus hidup dalam imaginasi budaya masyarakat.

Namun Fragments of Tuah tidak sekadar meraikan simbol tersebut. Ia perlahan-lahan mempersoalkan bagaimana sesuatu sejarah itu dipersembahkan dan diterima sebagai kebenaran. Penonton dibawa memahami bahawa ada kalanya apa yang dipamerkan bukan semestinya realiti yang sebenar tetapi sebahagian daripada memori dan naratif yang dibina selama bertahun-tahun.

Penceritaan Di Antara Hang Tuah dan Hang Jebat

Konflik antara Hang Tuah dan Hang Jebat turut menjadi antara elemen utama yang disentuh dalam persembahan ini. Menariknya, persembahan ini tidak memilih satu versi cerita sebagai jawapan mutlak. Sebaliknya, ia mengumpulkan pelbagai kisah dan tafsiran yang selama ini hidup dalam masyarakat.

Menerusi interpretasi filem arahan P. Ramlee yang turut disentuh dalam pementasan ini, setiap versi kisah dipersembahkan secara berlapis dan penuh nuansa. Tiada usaha untuk menentukan mana satu kebenaran mutlak. Sebaliknya, pendekatan ini mengajak penonton menyelami persoalan tentang bagaimana sejarah sering berubah wajah mengikut siapa yang menulis dan menyampaikannya.

Nama Hang Tuah Dalam Landskap Malaysia

Sepanjang persembahan nama Hang Tuah telah menjadi sebahagian daripada landskap Malaysia dan juga di luar negara seperti di Thailand dan Indonesia. Daripada nama jalan dan sekolah hinggalah kawasan perumahan dan institusi. Figura ini seolah-olah tidak pernah benar-benar hilang daripada kehidupan moden masyarakat hari ini.

Kehadiran nama Tuah di pelbagai ruang awam memperlihatkan bagaimana legenda ini terus dijadikan lambang identiti dan kebanggaan budaya. Dalam masa yang sama, teater ini mempersoalkan sama ada masyarakat benar-benar mengenali Hang Tuah atau sekadar mewarisi sebuah simbol yang telah lama dibentuk oleh sejarah dan nostalgia kolektif.

Replika, Artifak dan Persoalan Tentang Kebenaran

Antara momen yang paling meninggalkan kesan adalah apabila persembahan ini menyentuh tentang barangan dan artifak berkaitan Hang Tuah yang dipamerkan di muzium. Ada objek yang dipercayai asli tetapi sebenarnya hanyalah replika, sekali gus menimbulkan persoalan tentang bagaimana sesuatu sejarah itu dibuktikan.

Kisah mengenai keris Taming Sari yang dikatakan ditemui di Jepun tanpa hulu tetapi mempunyai sembilan lekuk pada bilahnya turut diceritakan namun cukup untuk mengganggu pemikiran penonton. Benarkah ia keris yang sebenar atau sekadar objek yang dipilih untuk dipercayai kerana masyarakat terlalu mahu legenda itu terus hidup?

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down