Pengembaraan tidak semestinya memerlukan jarak yang jauh atau perancangan yang besar. Kadangkala ia bermula dengan keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa. Dalam setiap perjalanan, terselit kisah tentang penemuan diri, keindahan budaya dan pengalaman yang mengajar erti kehidupan.

Walaupun hanya dengan langkah yang kecil, sama ada jauh ke pelosok dunia atau sekadar di negara sendiri, ia membuka ruang untuk dirinya belajar, mengenal diri dan melihat dunia dari sudut yang berbeza. Ia menjadi peringatan bahawa erti sebenar pengembaraan bukanlah sejauh mana kaki melangkah tetapi sejauh mana keberanian membawa kita untuk melangkah.

EM: Boleh kongsikan sedikit bagaimana kisah pengembaraan anda bermula?
FA: Pada tahun 2014, saya dan kawan saya telah menubuhkan sebuah outdoor team yang dipanggil ‘Pakatan Bejalan’. Waktu itu dikira outdoor adalah sesuatu perkara yang baru berkembang di Malaysia lebih-lebih lagi dari sudut hiking dan aktiviti lasak seperti wall climbing atau abseiling. Kemudian dari situ saya mula mengembara ke Indonesia, Japan, Nepal untuk mendaki gunung bersama kawan-kawan baru dan mula mengembara ke lebih banyak tempat!

EM: Bagaimana anda merancang perjalanan? Adakah anda jenis yang spontan atau lebih suka membuat perancangan rapi?
FA: Biasanya, saya akan merancang perjalanan secara ringkas dengan menyusun terlebih dahulu destinasi utama yang ingin dilawati sebelum berlepas. Namun pada masa yang sama, banyak juga perkara yang berlaku secara spontan kerana idea selalunya muncul apabila saya sudah berada di luar negara. Itulah yang menjadikan perjalanan saya lebih menarik dan luar biasa.

EM: Boleh senaraikan pengalaman menarik yang anda anggap sebagai momen yang tidak akan anda lupakan?
FA: Pada tahun 2017, saya mengetuai seramai 25 pendaki ke Annapurna Basecamp, Nepal. Sebagai ketua dan sweeper, saya bertanggungjawab memastikan semua peserta kekal sihat, bersemangat dan turun dengan selamat. Ia adalah pendakian yang penuh cabaran dan sukar dilupakan.
Sepanjang perjalanan saya, saya telah menawan beberapa gunung terkenal di Asia termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Fuji di Jepun serta pelbagai gunung di Indonesia seperti Semeru, Raung, Merbabu, Merapi, Sindoro, Argopuro, Rinjani, Prau, Slamet, Arjuno-Welirang dan juga Mardihimal, Annapurna Basecamp serta Gosaikunda di Nepal.

Antara pengalaman paling mencabar ialah menaiki tren selama 56 jam secara solo di India, meneroka daerah seperti Kolkata, Nagpur, Siliguri dan Darjeeling. Selain itu, saya dan rakan juga pernah menunggang motosikal sejauh 4,600 km selama 14 hari menjelajah seluruh utara India.

EM: Apakah destinasi impian anda yang masih belum sempat dikunjungi dan apa yang membuat tempat itu begitu istimewa bagi anda?
FA: Destinasi yang ingin saya terokai ialah Afghanistan. Bagi saya, negara ini mempunyai keunikannya yang tersendiri dari segi tempat dan budaya dan masyarakat setempat. Sebagai sebuah negara Islam, ia juga memudahkan urusan mencari makanan dan minuman halal. Selain itu, Afghanistan masih belum menjadi destinasi yang sering dikunjungi rakyat Malaysia, menjadikannya antara tempat yang saya paling teruja untuk jelajahi.

EM: Apakah matlamat atau impian utama anda dalam dunia pengembaraan?
FA: Bagi saya, matlamat atau impian sebenar dalam mengembara adalah untuk belajar dan menghargai setiap pengalaman yang diperoleh di tempat orang. Melalui perjalanan, kita dapat melihat sendiri keunikan budaya, menikmati kepelbagaian makanan, memahami cara hidup serta ekonomi masyarakat setempat. Kita juga berpeluang menyaksikan keindahan alam semula jadi dari gunung-ganang yang megah hingga ke bandar-bandar yang begitu berbeza daripada tempat kita sendiri. Namun yang paling berharga, adalah bagaimana kita belajar berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan mereka. Benarlah kata pepatah, semakin jauh kita berjalan, semakin luas pandangan dan pengalaman yang mampu membentuk cara hidup kita.

Perkara wajib yang anda akan lakukan setiap kali mengembara?
