Dalam dunia serba digital hari ini, sentuhan dakwat di atas kertas, bait harapan yang ditulis dengan penuh makna menjadi istimewa. Sempena menyambut putaran baru Kalendar Lunar 2026, Montblanc mengangkat kembali keindahan tradisi ini. Ia diterjemah menerusi sebuah koleksi kapsul eksklusif yang meraikan Tahun Kuda, simbol ketabahan, kebebasan dan optimisma tanpa batas.

Tidak hanya sambutan perayaan Tahun Baharu ini adalah detik refleksi dan hubungan. Saat di mana ucapan bertulis menjadi pengikat emosi, membawa doa dan impian untuk hari-hari mendatang. Melalui koleksi istimewa ini, Montblanc menjemput kita untuk menyambut permulaan baharu. Dalam masa sama menghayati semula seni penulisan sebagai ekspresi hubungan manusia yang paling tulen.
Dihiasi dalam palet merah dan emas warna yang melambangkan kemakmuran serta tuah, setiap helaian dan aksesori koleksi ini direka khas. Teras koleksi ini ialah The Montblanc Horse, ilustrasi eksklusif hasil sentuhan Pengarah Artistik Marco Tomasetta. Digambarkan berlari megah di antara awan, kuda ini melambangkan semangat optimisme yang tidak pernah goyah.
Motif awan berbentuk infiniti yang mengiringinya pula menyimpan simbolisma yang halus tetapi bermakna. Ia bukan sahaja merujuk kepada tradisi Montblanc. Corak ‘8 infiniti’ yang digunakan untuk menguji mata pena setiap pen mata air malah angka 8 juga dianggap lambang kemakmuran budaya Cina.

Koleksi ini menampilkan Thin Briefcase dan Mini Crossbody daripada fabrik gabardine bersulam dengan perincian kulit, serta Pen Pouch, Passport Holder dan Notebook yang diperbuat daripada kulit Sartorial bercetak. Sangat praktikal, sofistikated dan penuh karakter.
Diilhamkan oleh keindahan detik senja sebelum malam menjelma, Meisterstück Golden Hour Solitaire memancarkan keanggunan cahaya menerusi corak heksagon terukir di bawah lakuer lut sinar berwarna burgundi. Disempurnakan dengan kemasan bersalut emas dan mata pena emas padu Au 750 buatan tangan, instrumen ini adalah penghormatan kepada pembaharuan dan kreativiti. Ia ditawarkan dalam saiz LeGrand sebagai pen mata air, rollerball dan ballpoint.

Sementara itu, Meisterstück Burgundy Red mentafsir semula ikon klasik Montblanc dalam rona burgundi yang mendalam menjadi simbol gaya abadi dan pencapaian baharu. Diperbuat daripada resin berharga dengan kemasan emas, versi pen mata airnya dilengkapi mata pena emas padu dua tona Au 585. Satu peringatan elegan bahawa setiap kisah hebat bermula dengan satu garisan dakwat.
Menghormati keberanian Jacques Balmat yang menawan puncak Mont Blanc pada tahun 1786, Montblanc Star Legacy Moonphase Limited Edition 1786 tampil dengan dail burgundi bermotif glasier dan kesan sfumato yang halus. Komplikasi fasa bulan memaparkan bulan dan bintang bersalut emas ros di latar biru gelap, dikelilingi penunjuk tarikh pada posisi enam.
Dikuasakan oleh pergerakan automatik MB 24.31, jam tangan berdiameter 42mm ini dipadankan dengan tali kulit anak lembu boleh tukar dengan kemasan sfumato yang menyatukan kehalusan seni dan ketepatan horologi.
Koleksi Kapsul Tahun Baharu Montblanc ini akan tersedia dalam talian mulai Januari 2026, serta di butik terpilih termasuk Marina Bay Sands dan Takashimaya di Singapura dan Pavilion Kuala Lumpur di Malaysia. Pilihan set hadiah juga ditawarkan di semua butik Montblanc.
Dalam setiap helaian, setiap detik dan setiap tulisan, Montblanc mengingatkan kita bahawa permulaan baharu bukan sekadar ditunggu. Ia ditulis, dengan penuh niat dan keindahan.