Warisan dan kreativiti kontemporari kembali bertemu menerusi karya terbaru Louis Vuitton sempena Paris Design Week 2026. Antara sebahagian daripada koleksi Louis Vuitton Objets Nomades, Kubic Armchair menjadi karya terbaru dalam Pierre Legrain Homage Collection. Dengan mengangkat semula bahasa reka bentuk art deco menerusi tafsiran yang lebih moden.
Kerusi berlengan istimewa ini dipersembahkan bersama rangkaian terbaru Louis Vuitton Objets Nomades di Hôtel Particulier Louis Vuitton, Paris. Koleksi berkenaan sebelum ini diperkenalkan di Palazzo Serbelloni sempena Milan Design Week 2026. Meneruskan eksplorasi Louis Vuitton terhadap hubungan antara warisan, seni, rekaan dan kreativiti masa kini.

Pierre Legrain Homage Collection mengembalikan perhatian kepada salah satu figura penting dalam sejarah reka bentuk Louis Vuitton. Koleksi ini diwujudkan bersempena sambutan 100 tahun Pameran Antarabangsa Seni Hiasan dan Industri Moden 1925. Dengan memberikan tafsiran baru terhadap karya Pierre Legrain, seorang pereka dalaman, ilustrator dan pembuat kabinet yang dikenali menerusi pendekatan avant-garde terhadap reka bentuk.
Hubungan Legrain bersama Louis Vuitton bermula sejak 1920-an ketika beliau menjadi antara rakan kreatif Maison ini. Sumbangannya turut mencatat sejarah apabila menghasilkan karya perabot pertama Louis Vuitton, iaitu Louis Vuitton Dressing Table.

Sentuhan Baru Dengan Geometri Klasik
Menjadi kemuncak kepada persembahan kali ini, Kubic Armchair mengambil inspirasi daripada sebuah model bersejarah ciptaan Pierre Legrain yang ditempah oleh Jacques Doucet pada 1923. Rekaannya menampilkan struktur geometri yang tegas dengan garisan berbentuk cube, memberikan siluet yang jelas dan karakter visual yang kuat.
Bahagian belakang berbentuk trapezoid serta tempat letak tangan bersegi dilapisi Nomade leather, material ikonik Louis Vuitton yang menambah tekstur dan kemasan tersendiri. Kaki sisi pula diperbuat daripada rosewood, menghasilkan pertemuan menarik antara pengaruh art deco dan cubism.
Namun, kekuatan Kubic Armchair bukan sekadar pada bentuknya. Setiap perincian memperlihatkan kepakaran Louis Vuitton dalam kerja kulit dan pertukangan kabinet, menjadikan kerusi ini sebuah karya yang mempertemukan ketukangan tradisional dengan visi reka bentuk kontemporari.

Dalam Pierre Legrain Homage Collection, Kubic Armchair turut hadir bersama karya yang diambil daripada arkib Pierre Legrain dan Charlotte Perriand, selain rekaan baru oleh Estudio Campana, Raw Edges dan Franck Genser.
Hasilnya ialah sebuah dunia reka bentuk yang tidak terikat pada satu era. Sejarah menjadi titik mula, manakala inovasi dan ketukangan membuka ruang kepada interpretasi baru. Menerusi Kubic Armchair, Louis Vuitton sekali lagi memperlihatkan bagaimana warisan boleh terus berkembang, berubah bentuk dan menemukan relevansinya dalam kehidupan moden.