Jenama kamera kompak dan gajet bersaiz poket, DJI, memperkenalkan Avata 360. Sebuah dron FPV terbaharunya yang dilengkapi keupayaan rakaman 360 darjah pada resolusi sehingga 8K. Produk ini dibangunkan dengan fokus untuk menawarkan pengalaman penerbangan yang lebih menyeronokkan khususnya kepada pencipta kandungan dan para pengembara moden.

Menurut DJI, dron ini direka bagi membolehkan lebih banyak kandungan kreatif dirakam dalam satu penerbangan. Secara ringkasnya, pengguna boleh merakam keseluruhan persekitaran dalam format 360 darjah terlebih dahulu, sebelum memilih sudut terbaik ketika proses penyuntingan. Pendekatan ini memberikan lebih kebebasan dalam penghasilan kandungan, selain mengurangkan risiko terlepas momen penting semasa rakaman.
Model dron ini dilengkapi lensa 360 darjah yang menggunakan sensor bersaiz setara 1 inci. Melaluinya, pengguna boleh merakam video HDR pada resolusi sehingga 8K 60fps, selain mengambil gambar pegun beresolusi sehingga 120MP.

DJI turut menyertakan saiz piksel 2.4μm bersama julat dinamik tinggi bagi membantu menghasilkan imej lebih jelas dengan perincian cahaya lebih baik. Di samping itu, pengguna bebas beralih ke mod Single Lens untuk pengalaman rakaman ala Avata tradisional. Ia boleh dilakukan pada resolusi sehingga 4K 60fps dalam satu rakaman.
Bagi memastikan pengalaman penerbangan dron lebih lancar pula, sistem penghantaran video DJI O4+ yang menyokong penstriman langsung sehingga 1080p 60fps dengan jarak penghantaran mencecah 20 kilometer turut tersedia bersama. Keupayaan ini menjadi lebih menarik apabila digandingkan dengan gogal FPV dan pengawal gerakan DJI yang serasi.

Secara keseluruhannya, dron ini menawarkan pengalaman FPV yang lebih berkeupayaan tinggi kepada penggunanya. Khususnya mereka yang ingin merasai sensasi penerbangan daripada perspektif seolah-olah berada di tempat juruterbang sendiri.
Dari sudut keselamatan, dron ini menawarkan masa penerbangan sehingga 23 minit. Ia turut dilengkapi sistem pengesanan halangan omnidirectional yang berfungsi dalam pelbagai keadaan, termasuk persekitaran bercahaya rendah. Selanjutnya, pengadang kipas terbina juga disertakan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta memberi lebih keyakinan ketika menerbangkan dron di ruang mencabar.

Gabungjalinan ciri ini tentunya membantu pengguna mengawal dron dengan lebih stabil dan selamat dalam pelbagai situasi serta persekitaran penerbangan.
DJI turut memperkenalkan beberapa ciri pintar yang memanfaatkan setiap rakaman 360 darjah tersebut:

Bagi pencipta kandungan yang gemar menyunting selepas rakaman, aplikasi DJI Fly dan DJI Studio membolehkan sudut kamera diubah semula. Ini boleh dilakukan menerusi fungsi GyroFrame dan Virtual Gimbal. Semua ciri tersebut membolehkan pengguna menghasilkan pergerakan kamera lebih sinematik, termasuk putaran dan perubahan perspektif yang sukar dicapai dron konvensional.
Dron ini turut menawarkan storan dalaman sebesar 42GB yang mampu menyimpan kira-kira 30 minit rakaman 360 darjah pada resolusi 8K tanpa kad microSD. Proses pemindahan fail juga dipercepatkan melalui sokongan Wi-Fi 6. Sekali gus membolehkan data dipindahkan ke aplikasi DJI Fly pada kelajuan sehingga 100MB sesaat.

Dengan gabungan rakaman 360 darjah, pengalaman FPV serta pelbagai alat kreatif berasaskan perisian, DJI Avata 360 dilihat sebagai dron moden serba lengkap. Ia sesuai untuk pencipta kandungan, pengembara jauh dan juruvideo udara yang ingin menghasilkan kandungan daripada perspektif lebih dinamik.