Nama ‘The Documenting People’ lahir daripada visi Syazwan untuk mendokumentasikan kepelbagaian manusia dan realiti kehidupan yang tidak selalu diceritakan oleh kebanyakkan media. Kejujuran dalam penceritaan menjadi inti karyanya dan inilah yang membuka jalan kepada kerjasama dengan organisasi tersohor, National Geographic Asia.
Peluang itu tidak datang dengan mudah. “Passion, konsistensi, keberanian dan networking itulah empat kunci utama”. Kerjasama ini mengajarnya disiplin tinggi, etika dan nilai profesional yang mendalam dalam setiap aspek penceritaan. Setiap projek yang dijalankan memerlukan kajian terperinci, kepekaan terhadap budaya dan rasa hormat yang tinggi terhadap sesuatu perkara itu. Dokumentari mampu mengubah persepsi, membina empati dan mencipta perubahan sosial.

Syazwan cenderung memilih lokasi yang tidak popular atau terpencil kerana baginya, di sana memiliki kisah yang tersendiri. Daripada ratusan tempat yang pernah diterokai, ada dua destinasi yang benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya.
Semasa di Palu, Sulawesi, Syazwan berada di sana sehari selepas tragedi gempa bumi dan tsunami besar yang melanda pada tahun 2018. “Saya menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana bumi boleh berubah dalam sekelip mata. Mayat beribu-ribu bergelimpangan, bangunan runtuh, tanah terbelah dan suasana yang hanya boleh digambarkan sebagai kehancuran.” Apa yang dilihat bukanlah sekadar bencana alam tetapi satu trauma kolektif yang menyentuh setiap lapisan masyarakat.
Dia juga pernah tinggal bersama Suku Mentawai di Sumatera Barat, menyelami falsafah kematian di Tanah Toraja dan menyertai kehidupan harian etnik Bajau Laut serta suku pemburu paus Lamalera. Sebuah perkampungan terpencil di Indonesia bahagian Flores Timur yang masih mengamalkan tradisi pemburuan paus secara tradisional.

Untuk projek lestari, Syazwan memilih untuk mendalami isu yang lebih kompleks. Projek dokumentari jangka panjangnya di Lombok Timur adalah bukti dedikasinya terhadap penceritaan mendalam. Selama tujuh tahun, dia mengkaji tradisi pemburuan jerung komuniti setempat yang diwarisi sejak beratus tahun lalu.

Projek ini membawa Syazwan merentasi lapangan kajian yang mencabar dengan matlamat untuk membangunkan pendekatan pemuliharaan yang sensitif terhadap budaya tempatan. Dengan sokongan NGO, pakar pemuliharaan dan komuniti tempatan dia berharap kisah ini dapat memberi inspirasi kepada dunia tentang bagaimana tradisi dan kelestarian boleh berjalan seiring.

Syazwan belajar bahawa setiap destinasi adalah pembelajaran dan antara destinasi impiannya adalah Papua New Guinea dan wilayah Maasai di Kenya. Kedua-duanya menyimpan budaya unik yang jarang didokumentasikan secara mendalam. Apa yang ingin dia kupaskan di Papua New Guinea ini adalah tentang komuniti pribumi yang masih mengekalkan cara hidup tradisional termasuk bahasa, ritual dan sistem kepercayaan yang tidak banyak berubah sejak beratus tahun lalu.

Syazwan juga ingin menyelami wilayah Maasai secara lebih dekat tentang kehidupan masyarakat disana yang terkenal dengan warisan mereka yang kaya dengan sistem sosial, peranan alam dalam kehidupan seharian mereka hingga ke perjuangan mereka dalam menyesuaikan tradisi dengan perubahan zaman. Selain itu, wilayah ini juga menjadi titik temu antara konservasi hidupan liar dan hak masyarakat asal. Satu isu yang sangat relevan dalam dokumentari yang sering menyentuh tentang keseimbangan antara budaya dan alam.
