LANGGAN

Inovator Stail: Darren Yeap

Sisi eklektik Darren Yeap
Published: September 3, 2026

Jenama di bawah naungannya bukan sekadar nama semata-mata. Darren Yeap ingin membuktikan bahawa fesyen itu tiada batas atau had. Idea dan pengalaman yang dilalui membentuk siapa dirinya hari ini. Kini, dia sedang giat mempersiapkan koleksi keduanya untuk debut di Kuala Lumpur Fashion Week dan konsert tour untuk DIOR Daying.

Vest dan seluar daripada COS. Kasut milik Darren Yeap

ELLE Men: Dorongan yang menginspirasi anda terus berkarya dan berkreatif dalam bidang diceburi?

Darren Yeap: Inspirasi saya datang daripada kehidupan seharian dan zaman kanak-kanak saya sendiri. Ia juga datang daripada persekitaran dan manusia di sekeliling. Pada awalnya, saya suka mengitar semula beberapa helaian kain dan pakaian. Kemudian, pensyarah saya berkata, saya patut jual rekaan saya dan dari situlah lahirnya Ugly Pretty.

EM: Apakah projek yang paling memberi kepuasan dan diingati hingga sekarang?

DY: Saya rasa karya yang saya hasilkan untuk artis tempatan. Itu merupakan kali pertama saya menghasilkan rekaan khas untuk seorang selebriti, jadi ia cukup bermakna dan tidak dapat dilupakan bagi saya.

Instagram: @__________uglypretty

EM: Apa cabaran terbesar yang sering dihadapi dalam bidang anda?

DY: Saya rasa keyakinan diri dan itu adalah satu perkara yang saya sedang perbaiki. Selain itu, cabaran terbesar adalah bagaimana untuk mengimbangi kreativiti dan aspek komersial.

EM: Di luar dunia kerja, apakah lagu, buku, hobi atau ritual harian on repeat yang mesti dilakukan?

DY: Sekarang saya sangat obses dengan album Hades oleh Melanie Martinez. Dari segi rutin, saya suka menulis jurnal pada waktu pagi atau malam. Apabila terlalu banyak perkara bermain di fikiran, saya akan menulisnya. Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk lebih tenang, terutama apabila banyak perkara yang perlu dilakukan dan cabaran yang perlu dihadapi.

"Jika anda mempunyai idea yang luar biasa dan tahu asas menjahit, itu sudah mencukupi. Jadi, bagi saya, budaya fesyen seharusnya bebas"

EM: Definisikan budaya dengan cara anda?

DY: Ramai yang menganggap bahawa fesyen memerlukan kemahiran tertentu atau perlu dipelajari di universiti. Tetapi bagi saya, jika anda mempunyai idea yang luar biasa dan tahu asas menjahit, itu sudah mencukupi. Jadi, bagi saya, budaya fesyen seharusnya bebas.

EM: Impian terbesar sebelum tahun ini berakhir. 

DY: Saya mahu mencari lebih banyak kebebasan untuk berkarya. Saya mahu mencipta apa yang saya inginkan, di luar dunia fesyen. Mungkin dalam bidang seni atau seni arca.


PENYELARAS ARDI IDEWANI FOTOGRAFI AMANI AZLIN DIBANTU OLEH BRENDON & GAVIN PENATA GAYA MUZAMMIN MUZLAN ARAHAN SENI NABIHAH NIZAM GROOMING AYANG KAMEL & WIRA KASTRYA DANDANAN AIREENZRASHID  TEKS M. RIDHWAN SA’AYA & NURHANI NATASHA PELATIH AMALI HIZRAL FAIZ ROZEMAN & AISYAH HAZIYAH

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down