Pereka ternama dari Jepun ini paling dikenali menerusi koleksi Pleats Please Issey Miyake dan Homme Plissé, koleksi fabrik berlisu seperti harmonika yang kekal relevan lebih tiga dekad selepas diperkenalkan. Dia meninggal dunia pada tahun 2022 namun namanya terus hidup dalam dunia fesyen.
Satu lagi ciptaan Issey Miyake yang kian mencuri perhatian ialah beg tangan futuristik Bao Bao. Menerusi pelan pengembangan global, jenama asal Tokyo ini akhirnya membuka butik Bao Bao Issey Miyake pertama di luar Asia, berlokasi di Soho, New York.
Direka oleh MOMENT, perusahaan dari Tokyo yang bertanggungjawab mereka bentuk pelbagai butik jenama ini di seluruh dunia, butik di Prince Street ini menampilkan fasad batu bata dan brownstone, serta interior dengan dinding plaster dan meja paparan aluminium tukul buatan khas. Reka bentuk dalaman yang minimalis bak galeri membiarkan beg-beg berwarna-warni menjadi tumpuan utama, menonjolkan inovasi reka bentuk jejaring segi tiga PVC yang fleksibel di atas dasar mesh.
Estetika seni bina pada beg ini bukanlah satu kebetulan. Pengasas jenama ini mencipta versi pertama beg ini (dikenali sebagai Bilbao) pada tahun 2000 sebagai penghormatan kepada Muzium Guggenheim Bilbao rekaan Frank Gehry yang dibuka tiga tahun sebelumnya. Miyake mengagumi keberanian dan keindahan struktur titanium Gehry yang melengkung indah. Hasilnya lahirlah beg yang menyerupai origami, disusun daripada kepingan segi tiga fleksibel yang bergerak mengikut pergerakan dan bentuk badan si pemakai.
Sempena pembukaan butik di New York, Bao Bao Issey Miyake memperkenalkan koleksi edisi khas ‘Lucent Love’ rangkaian beg merah tona senada termasuk beg silang dan beg pouch yang dijual eksklusif di butik Soho. Butik ini turut menampilkan keseluruhan koleksi, termasuk tote dengan corak buah-buahan seperti pisang serta beg yang diinspirasikan daripada manga Jepun.
Dilancarkan pada tahun 2010 sebagai jenama berasingan (sebelum ini berada di bawah Pleats Please), Bao Bao Issey Miyake sudah lama menjadi kegemaran dalam dunia reka bentuk. Mendiang arkitek ternama Zaha Hadid sering memadankan beg ini bersama busana Miyake miliknya. Kini, generasi muda pula kembali jatuh cinta dengan lipatan ikonik Miyake, menjadikan beg Bao Bao sebagai aksesori pelengkap gaya."Ia pada asasnya adalah seni yang boleh dipakai," kata Leah Ring, pereka dan pengarah studio Another Human yang berpangkalan di Los Angeles. “Saya boleh sahaja memakai jeans dan t-shirt, tetapi dengan beg Bao Bao dan seutas perhiasan, saya terus rasa bergaya dan menarik.”
Artikel asal daripada ELLE Decor US.