Sebuah evolusi dalam seni pertukangan mewah, rangkaian kulit Dior Gravity diperkenalkan di bawah koleksi lelaki musim luruh 2025 oleh Maison Dior. Ia merupakan sebuah transformasi artistik yang menyatukan warisan agung dengan teknologi seni kulit terkini, sempurna untuk melengkapi gaya lelaki moden yang mendambakan sentuhan eksklusif.
Material inovatif ini diperbuat daripada kulit anak lembu yang memaparkan tekstur berbutir dengan kemasan lembut, hasil daripada eksplorasi daya graviti yang membentuk kesan timbul unik. Secara teknikalnya, setiap permukaan kulit melalui teknik embossed, lalu mencorakkan permukaan dengan kesan tiga dimensi yang memukau. Dengan tekstur yang kaya dan penuh karakter, Dior Gravity bukan sahaja menyerlahkan kehalusan serta ketelitian pertukangan jenama, malah menghidupkan semula ikon-ikon klasik dalam nafas yang lebih segar dan kontemporari.
Kulit istimewa ini hadir dalam rona hitam dan variasi dua rona pada pilihan aksesori Dior. Ia digunakan untuk menyempurnakan ciptaan ikonik seperti beg Hit the Road dan beg Saddle, di samping beg sandang serta barangan kulit kecil yang mewah.
Bukan sekadar itu, Dior Gravity turut menyerlahkan rekaan kasut seperti sandal Dior Alias dan kasut sukan B33. Kasut B27 juga diperkenalkan dalam versi potongan rendah dalam tiga rona kontras yang menawan. Tidak kira musim atau trend, kesemua aksesori-aksesori ini menjanjikan daya tarikan yang abadi.
Jelas, koleksi ini mencerminkan keberanian Dior untuk berevolusi secara kreatif. Ia menggambarkan keupayaan rumah fesyen ini dalam berinovasi sambil terus menghormati warisan agungnya. Maka, inilah saat yang paling tepat untuk anda menyarung salah satu aksesori mewah ini.
Terokai seleksi Dior Gravity Leather dengan lebih lanjut di butik Dior atau secara dalam talian di dior.com.