Pereka British, Max Lamb bekerjasama dengan hab kreatif Potato Head dan penggiat kraf tempatan Bali untuk menghasilkan koleksi Wasted. Koleksi ini sepenuhnya menggunakan bahan kitar semula seperti plastik, kaca dan buluh sebagai bahan utama. Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen menyeluruh Potato Head terhadap kelestarian, mengubah sisa buangan menjadi perabot dan barangan rumah tahan lama, membuktikan bahawa bahan terbuang boleh menjadi dekor reka bentuk.
Dilancarkan di Desa Potato Head Seminyak, Bali, Wasted memperluas misi syarikat untuk mencapai 97.5% sifar sisa dari tapak pelupusan. Setiap barangan dibentuk melalui proses kitar tertutup, menjadikannya bukan sahaja berfungsi, tetapi turut menyimpan cerita tentang bahan-bahannya serta individu yang menghasilkannya.
Untuk koleksi ini, Max Lamb bertekad menggunakan bahan-bahan yang diperoleh dalam lingkungan 50 batu dari kampung Potato Head. Ini sekaligus memerlukan kepakaran gabunkan teknik tradisional dan sumber serantau. Lawatan ke setiap bengkel kecil dan studio kraf di seluruh pulau menjadi inspirasi bagi menghasilkan reka bentuk seperti kerusi santai buluh dan teko seramik. Proses ini melahirkan karya yang menghormati warisan kraf Bali, sambil memenuhi keperluan ruang hospitaliti moden.
Semua bahan ini berasal daripada aliran sisa tempatan Indonesia. Versi awal kerusi Study Chair (Plastic Family) menggunakan bahan daripada Smile Plastics (UK), tetapi versi akhir dalam koleksi ini sepenuhnya menggunakan sisa tempatan.
Koleksi Wasted meraikan kepelbagaian. Setiap item dihasilkan bergantung kepada sisa yang tersedia semasa proses pembuatan. Tiada dua produk yang sama; warna, tekstur dan bentuknya. Pengusaha kraf tempatan memotong, memasang dan menyiapkan setiap satu produk secara manual dan hasilnya siaplah gabungan ketelitian dengan keunikan kerja tangan.
Bagi Max Lamb, mereka bentuk menggunakan sisa bukan sahaja menuntut penyesuaian praktikal, tetapi juga tanggungjawab untuk memberikan justifikasi kepada kewujudan setiap objek. Dengan melihat sisa sebagai sumber bernilai dan terhad, beliau menekankan aspek ketahanan, nilai emosi, serta hayat guna panjang dalam setiap rekaan.