LANGGAN

5 INOVATOR STAIL – Bersama Bry, Mencipta Imej Selebriti-Selebriti Malaysia

Eksklusif bersama Bry - tentang stail dan dunia fesyen lokal
Published: August 26, 2025

Di balik kecemerlangan fesyen Malaysia, hadir individu-individu lelaki yang memberi sumbangan dan membentuk naratif. Berjenis-jenis latar dan haluan mereka pun berbeza, namun matlamatnya sama: menggerakkan dunia fesyen ke hadapan. Mereka pupuk semerbak azam dan menuai harapan. ELLE Men mendekati Hadri Hashim, Terimunite Chandran, Bry, Dikson Mah dan Edmund Lee sebagai ‘inovator stail’ tahun ini!

bry

Bry, Penata Gaya Selebriti

Bukan lagi sebahagian, namun sudah menjadi peranan sepanjang hidupnya. Mendirikan imej, mencipta gaya malah mengatur rupa seseorang selebriti… itulah Bry, salah seorang '5 INOVATOR STAIL' kami yang sudah bergerak sebagai Penata Gaya Selebriti. Bry mensyukuri nikmatnya membabitkan diri dalam satu lapangan kerja yang kini antara terpenting dalam industri fesyen (yakni penata gaya) dan dia tidak langsung berasa terasing, malah memperoleh dukungan hebat. Bella Astillah, kumpulan Defam dan Leona adalah klien-klien selebriti yang pernah mendapat sentuhan Bry.

 “Saya selalu memastikan yang diri saya dan klien-klien berada pada landasan yang sama. Saya akan berbincang tentang keperluan dan kehendak mereka terlebih dahulu,” jelas Bry, tentang melaksanakan tanggungjawabnya Daripada rundingan, lantas berganti menjadi suatu karya yang dipertontonkan di hadapan khalayak dan apalagi, merangkul sekali kepuasan hati klien-klien. Namun, Bry tidak mahu terlena dalam puji-pujian. Dia setiap waktu mahu memperbaiki serta mempertingkatkan mutu kerjanya dan menjadi seorang penata gaya generasi muda yang disegani.   

bry
Bry menggayakan jaket miliknya sendiri

ELLE Men: Sebagai penata gaya, bagaimana anda menggambarkan estetika atau signature dan menerapkan ia pada figura-figura yang digayakan?

Bry: Saya suka menyelitkan elemen tempatan secara halus ketika menggayakan klien – contohnya korset Batik yang edgy atau menggunakan elemen songket dalam potongan moden. Saya mahu memberikan sentuhan budaya yang cukup dikenali ramai. Dan pada masa yang sama, saya melangkaui sempadan gaya biar penampilannya nampak berani, segar serta kelihatan ‘mahal’. 

Apakah yang menarik minat anda dalam dunia penggayaan dan bila rasanya anda sedar bahawa ini adalah jalan kreatif yang anda betul-betul mahu terokai?
Saya belajar rekaan fesyen di kolej dan sedari kecil lagi, saya sangat minat fesyen. Saya pernah terlibat dalam pelbagai peranan dalam industri – bekerja sebagai salah seorang dalam barisan produksi, ke tukang sulam, ke pengarahan kreatif – dan sekarang, saya berada di sini! Bagi saya, styling adalah satu bentuk ekspresi. Bila klien saya boleh memperkuat visi kreatif itu melalui karisma dan pembawaan diri mereka, ia memberi saya rasa kepuasan yang sebenar.

Apa salah tanggapan paling besar tentang kerja sebagai stylist hari ini dan apakah sisi yang jarang orang nampak?
Saya rasa kerja ini tak ‘se-glamor’ yang orang sangkakan. Ada banyak perkara yang berlaku di sebalik tabir. Jumlah wang yang perlu dilaburkan untuk setiap tugasan pun besar dan kami sering perlu cari barang tanpa bayaran pendahuluan. Berjam-jam dihabiskan untuk kurasi setiap penampilan agar sesuai dengan siluet yang tepat. Ini bukan sekadar beli baju, ia adalah pengorbanan masa tidur dan waktu rehat. Jam kerja yang panjang di set, calltime seawal pagi dan selesai lewat malam hanya untuk video tiga minit. Tapi hasil akhirnya sangat berbaloi dan itulah yang menjadikannya bermakna.

Anda memiliki pengalaman bekerjasama dengan ramai selebriti tempatan. Bagaimana anda menyeimbangkan antara memperkukuhkan identiti mereka dan pada masa yang sama, memperkenalkan visi kreatif anda?
Melalui perbincangan yang berakhir dengan persefahaman kedua-dua pihak. Kemudian, saya akan tampil dengan beberapa cadangan melalui lakaran. Saya percaya pada kerjasama dua hala, jadi saya juga amat menghargai apabila mereka dapat menyediakan moodboard untuk rujukan saya. Dan daripada situ, saya boleh memahami jangkaan mereka dan pada masa yang sama mengetahui apa yang boleh saya tawarkan

Projek anda yang seterusnya? Ada kolaborasi atau memulakan jenama sendiri nanti, mungkin?

I’ve been thinking of going back into designing! Barangkali memulakan jenama saya sendiri. Saya bersyukur kerana memiliki skil teknikal yang saya pelajari ketika di kolej dahulu dan ia banyak membantu saya dari segi menghasilkan ciptaan sendiri untuk klien-klien saya. Terutama sekali pabila saya tidak berjaya menjumpai sesuatu yang saya mahu di pasaran sedia ada, so I make it myself. 

Adakah kepercayaan budaya anda mempengaruhi pilihan fesyen anda? Jika ya, bagaimana?
Saya berbangsa Cina, namun kebanyakan klien saya terdiri daripada orang Melayu dan Muslim. Makanya, memahami konteks budaya dan agama amat penting bagi saya. Saya sentiasa mahu menghormati pegangan mereka sambil mencari cara kreatif untuk menjadikan sesuatu gaya itu tetap stylish. Kesopanan tidak semestinya membosankan, ia sebenarnya umpama ‘ruang’ yang menyeronokkan untuk mencipta penampilan yang diterima oleh orang ramai. Anda masih boleh tampil ikonik tanpa perlu menonjolkan terlalu banyak kulit.

bry
Bry menggayakan skaf, kemeja dan seluar daripada ISSEY MIYAKE. Kasut miliknya sendiri

Penataan gaya : Ardi Idewani | Arahan seni : Iera Nadzlim | Dibantu oleh : Nabihah Nizam | Pembantu penataan gaya : Muzammin Muzlan & Athirah Zahra | Fotografer : Edmund Lee (Hexa Studio) | Pembantu studio : Zane | Grooming : Fiona Tan & Carmen Ng daripada Shu Uemura | Dandanan : VV Chan menggunakan Schwarzkopf Professional Session Label | Pelatih amali : Nuha Adam 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down