Di balik kecemerlangan fesyen Malaysia, hadir individu-individu lelaki yang memberi sumbangan dan membentuk naratif. Berjenis-jenis latar dan haluan mereka pun berbeza, namun matlamatnya sama: menggerakkan dunia fesyen ke hadapan. Mereka pupuk semerbak azam dan menuai harapan. ELLE Men mendekati Hadri Hashim, Terimunite Chandran, Bry, Dikson Mah dan Edmund Lee sebagai ‘inovator stail’ tahun ini!
Tiada istilah keterbatasan dalam jiwanya untuk menghadirkan sesebuah karya. Dia bebas daripada bendungan konvensional, berharmoni dengan idea rekaan yang lari daripada apa yang biasa kita lihat pereka fesyen Malaysia lain buat. Dikson Mah adalah nama pereka fesyen atau jenama fesyen lokal yang menjadi buah mulut gerombolan fesyen Malaysia – keraa dia menemukan kita kepada suatu struktur, keunikan serta citra ‘tidak selamat’ dalam nada rekaan-rekaanya.
“I have always been drawn to strong shapes and structure. I like how these bold forms can change the body’s look,” jelas Dikson menyifatkan jati dirinya dalam membuahkan sesuatu hasil. Apa yang dapat diertikan sebagai identiti Dikson adalah ekspresi kendiri yang bersemi menjadi bentuk keyakinan. Dan dia menghidupkan ritma fesyen yang mencungkil apa yang terkandung dalam jiwa seorang pemakai. Dikson senantiasa mahu membangkitkan rasa pabila rekaan-rekaannya diteliti dalam keterkaitan dengan penyusunan cara pengolahannya. “Ia membuatkan orang dua kali memandang hasil kerja saya,” kata Dikson.
Hasil kerja anda menerokai siluet yang bersifat arca dan seni bina. Apa yang menarik minat anda kepada ilham bentuk 3D ini dan apakah cerita yang anda harap disampaikan?
Dikson: Sejak dahulu lagi, saya memang tertarik kepada bentuk yang ‘kuat’ dan struktur yang jelas. Saya suka bagaimana bentuk-bentuk berani ini boleh mengubah rupa tubuh dan menyampaikan cerita tentang keyakinan serta ekspresi diri. Bagi saya, ia tentang mencipta sesuatu yang terasa seperti gabungan fesyen dan seni – sesuatu yang boleh dipakai, tetapi juga membuat orang pandang dua kali.
Bagaimana pendekatan arca anda membawa sesuatu yang segar ke dalam dunia fesyen Malaysia dan apakah impak yang anda harap dapat berikan?
Saya rasa dunia fesyen di Malaysia masih agak ‘selamat’, terutamanya pakaian lelaki. Saya harap hasil kerja saya dapat menunjukkan bahawa fesyen tidak semestinya perlu ikut peraturan yang sama setiap masa. Saya ingin mendorong lebih banyak idea kreatif dan berani di sini, dan mudah-mudahan memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut mencuba sesuatu yang baru.
Boleh anda kongsikan proses kreatif anda?
Saya biasanya bermula dengan lakaran atau bayangan bentuk dalam fikiran. Kemudian saya akan bereksperimen dengan draping dan material – kadang-kadang secara digital juga, jika saya bekerja dengan elemen 3D. Proses kreatif sata berasaskan praktikal dan dengan kerja tangan. Saya suka mengubahsuai dan menyesuaikan sesuatu sehingga setiap lengkungan serta garis itu dirasakan tepat. Ia sebenarnya satu gabungan antara gerak hati dan kerja teknikal.
Rekaan ‘ikonik’ anda?
Sudah tentu rekaan 3D-Printed bustier saya yang pertama. Projek tersebut benar-benar menguji serta mencabar saya untuk berfikir di luar kelaziman. Ia mengambil masa yang lama, namun mengajar saya untuk mempercayai visi kendiri. Malah membenarkan saya untuk menerokai cara baharu dalam proses pembuatan dan penghasilan. Lantas, saya menjadi yakin untuk menyatukan teknologi dengan craftsmanship.
Apakah langkah seterusnya untuk jenama anda? Dalam masa yang mendatang?
Saya menaruh minat mendalam untuk menggabungkan material lembut dengan elemen-elemen ‘keras’ seperti perpaduan idea 3D-printed pieces bersama draped fabrics. Saya juga mahu bekerjasama dengan artis-artis atau indidivu-individu dari pelbagai bidang atau lapangan kerja. Contohnya, mereka yang datang dari bidang pengarcaan atau rekaan digital kerana ia membuka jalan buat diri saya untuk mencipta sesuatu yang baharu!
Siapa pereka fesyen yang menjadi titik inspirasi anda?
Pereka-pereka fesyen seperti Kim Jones dan pereka lokal seperti Kit Woo. Kerana kedua-dua mereka berani menjangkau sesuatu sempadan dan membuktikan fesyen itu adalah bentuk penceritaan dan punya nilai kraf. Bukan sekadarkan pakaian sahaja.
Pendapat anda tentang dunia fesyen Malaysia?
Sejujurnya, masih wujud ‘stigma’ yang terbit terhadap lelaki-lelaki yang berpakaian laind aripada yang lain. Ramai masih takut-takut lagi seandainya ‘dihakimi’ orang atau barangkalu takut disalahertikan, kerana percubaan mereka untuk memecah tradisi.
Penataan gaya : Ardi Idewani | Arahan seni : Iera Nadzlim | Dibantu oleh : Nabihah Nizam | Pembantu penataan gaya : Muzammin Muzlan & Athirah Zahra | Fotografer : Edmund Lee (Hexa Studio) | Pembantu studio : Zane | Grooming : Fiona Tan & Carmen Ng daripada Shu Uemura | Dandanan : VV Chan menggunakan Schwarzkopf Professional Session Label | Pelatih amali : Nuha Adam