Volvo Car Malaysia melakar satu lagi detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Volvo ES90. Sebuah sedan elektrik sepenuhnya yang pertama untuk jenama Scandinavia ini. Dipasang secara tempatan di Shah Alam, ES90 adalah manifestasi visi Volvo terhadap masa depan mobiliti premium yang lebih pintar. Ia juga diyakini lebih selamat dan lebih lestari.

Kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara. Volvo ES90 ditawarkan pada harga bermula RM339,888 dengan insentif early-bird 2% untuk 100 tempahan terawal sebelum Mac 2026. Sebuah tawaran eksklusif untuk mereka yang bersedia melangkah ke era elektrik dengan gaya dan keyakinan.
Direka berlandaskan falsafah Designed for Life in Balance, Volvo ES90 menggabungkan kepentingan fastback dengan kepraktisan sebuah SUV. Garis bumbung yang dicipta terperinci memancarkan siluet sofistikated dan meningkatkan aerodinamik dan ruang dalaman.
Ketinggian pemanduan yang sedikit tinggi memberikan sudut pandang lebih yakin di jalan raya. Dalam masa sama identiti Volvo kekal jelas melalui rekaan lampu hadapan ikonik Thor’s Hammer. Ini termasuk lampu belakang LED berbentuk C yang disempurnakan dengan animasi cahaya alu-aluan dan perpisahan yang tersendiri.
Pilihan warna Vapour Grey, Crystal White, Denim Blue dan Onyx Black pula menawarkan palet yang eksklusif, maskulin dan abadi.
Di sebalik rupa yang tenang, Volvo ES90 menyimpan teknologi paling maju Volvo setakat ini. Sistem 800-volt architecture membolehkan pengecasan pantas daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit menggunakan pengecas DC 350 kW.
Dengan jarak pemanduan sehingga 651 km (WLTP), perjalanan jarak jauh dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau Johor Bahru kini boleh dilakukan tanpa rasa bimbang. Ini menjadikan ES90 pilihan ideal untuk gaya hidup moden yang aktif dan dinamik.
Pecutan 0–100 km/j dalam 6.6 saat pula memberikan keseimbangan antara ketenangan pemanduan dan responsif yang memuaskan.
Melangkah masuk ke dalam ES90 seolah-olah memasuki ruang tamu eksklusif berinspirasikan Scandinavia. Jarak roda sepanjang 3.1 meter memastikan ruang kaki barisan kedua yang luas, manakala upholsteri Nordico berpengudaraan dalam tona Charcoal menampilkan kemewahan yang beretika dan lestari.
Enam tema pencahayaan ambien, bumbung panoramik dengan kaca elektrokromik yang menapis 99.9% sinaran UV, serta sistem kawalan iklim empat zon dengan penapis udara berteknologi tinggi. Semuanya dicipta untuk kesejahteraan penumpang.
Tahap kesenyapan kabin yang luar biasa menjadikan ES90 antara yang paling senyap pernah dihasilkan Volvo. Ini membolehkan sistem audio Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara, kuasa 1,610 watt dan Dolby Atmos® benar-benar menyerlah. Ini juga termasuk mod eksklusif Abbey Road Studios yang membawa pengalaman bunyi studio legenda terus ke dalam kabin.
Seperti mana-mana Volvo, keselamatan adalah teras utama ES90. Dibina mengikut Volvo Cars Safety Standard, ia dilengkapi 'sangkar' keselamatan kukuh, sistem perlindungan termaju dan rangkaian sensor menyeluruh. Ini termasuk lima radar, tujuh kamera dan dua belas sensor ultrasonik.
Sistem pemahaman pemandu mampu mengesan tahap fokus pemandu, manakala teknologi amaran pembukaan pintu membantu melindungi pejalan kaki dan penunggang basikal ketika kenderaan diparkir.
Volvo ES90 turut mencerminkan komitmen jenama terhadap kelestarian alam. Hampir satu pertiga aluminium dan sebahagian besar keluli yang digunakan adalah bahan kitar semula, di samping penggunaan polimer bio dan kayu dalaman daripada sumber FSC-certified. Di mana ia mengurangkan jejak karbon tanpa menjejaskan estetikanya.
Secara keseluruhan, Volvo ES90 baharu adalah pernyataan gaya hidup. Pilihan ideal ntuk lelaki moden yang menghargai reka bentuk bersih, teknologi pintar dan kemewahan yang beretika. Ia menawarkan sesuatu yang jarang ditemui dalam satu yakni ketenangan, keyakinan dan keseimbangan.