LANGGAN

Kembara 130 Tahun Monogram Di Kota Bangkok

LV Hotel Bangkok
Published: May 12, 2026

Louis Vuitton meneruskan sambutan ulang tahun ke-130 Monogram dengan pop-up dedikasi eksklusif di Bangkok melalui lensa travel content creator tempatan, Ming Han. 

Ming Han

Sempena sambutan global ulang tahun ke-130 Monogram, Louis Vuitton memperkenalkan sebuah pop-up yang eksklusif di Asia Tenggara. Bertempat di kota Bangkok, ruang empat tingkat ini menjemput pengunjung menyusuri pengembaraan penuh kemewahan untuk meraikan ikon abadi warisan Louis Vuitton, savoir-faire serta semangat inovasi yang merentas generasi.

Meneruskan siri sambutan selepas Shanghai, New York dan Seoul, pop-up dedikasi ini diterjemahkan melalui konsep Louis Vuitton Hotel Bangkok, mencerminkan hubungan jenama dengan dunia pengembaraan. Menampilkan bilik-bilik imersif yang didedikasikan kepada lima beg Monogram paling ikonik Louis Vuitton iaitu Keepall, Speedy, Alma, Neverfull dan Noé. 

Kembara Monogram bermula pada aras satu yang dihiasi bendera Louis Vuitton. Melangkah masuk, pengunjung dibawa ke lobi tingkat atas bersama beg Keepall selaku ikon pengembaraan sejak 1930. Reka bentuk boleh lipat ini menandakan permulaan era baharu dalam seni pengembaraan praktikal bertemu keanggunan effortless. Selain Bilik Kebal Speedy P9 dengan interpretasi kontemporari oleh Pengarah Kreatif Lelaki, Pharrell Williams, aras ini turut menempatkan ruang untuk menikmati servis personalisasi eksklusif seperti hot-stamping.

Di aras tiga, Neverfull Gym menampilkan beg carry-all moden dalam suasana berinspirasikan gimnasium. Noé Bar pula memberi penghormatan kepada asal-usul rekaan beg yang dicipta pada 1932 untuk menggambarkan keupayaan Louis Vuitton mengubah fungsi menjadi bentuk yang abadi. 

Speedy Room 1930 di aras empat menawarkan pengalaman mendalam ciptaan ikonik Louis Vuitton yang turut menampilkan instalasi telefon vintaj untuk pengunjung mendengar kisah warisan Speedy, serta bilik persalinan dengan pilihan charms dan gaya personalisasi. Mengakhiri perjalanan, Alma Terrace meraikan beg Alma dan diinspirasikan oleh seni bina Art Deco. Mencerminkan keanggunan Paris yang klasik, ia menampilkan paparan visual ibu kota Perancis pada skrin berskala besar untuk mewujudkan ilusi seperti berada di teres kota Paris. 

Temu bual bersama travel content creator tempatan, Ming Han

1. Kandungan anda sering mengetengahkan seni bina dan reka bentuk. Apakah elemen paling mencuri perhatian anda di Louis Vuitton Hotel di Bangkok?

Apa yang paling menonjol bagi saya ialah kontras antara fasad bangunan bersejarah dengan ruang dalaman Louis Vuitton Hotel ini. Dari luar, ia masih terasa seperti kediaman lama yang berakar pada sejarah Bangkok. Namun sebaik melangkah masuk, suasananya berubah bukan sekadar tentang reka bentuk, tetapi bagaimana ruang-ruang ini dibina berasaskan pergerakan dan transisi.

Sebagai seorang jurugambar, saya banyak memperlahankan langkah, memerhati bagaimana cahaya bergerak pada permukaan material. Terutamanya di aras atas, di mana lengkungan dan refleksi mencipta suasana berlapis yang lebih tenang. Ia bukan ruang yang hanya dilihat, tetapi ruang yang perlu dilalui. Dan bagi saya, itulah makna sebenar pengembaraan.

2. Pop-up ini direka sebagai pengalaman imersif yang meraikan warisan pengembaraan Louis Vuitton. Bahagian manakah paling memberi kesan kepada anda?

Apa yang menjadikan pengalaman ini bermakna ialah bagaimana naratifnya berkembang secara semula jadi apabila kita bergerak dari satu ruang ke ruang lain. Setiap aras merujuk kepada bab berbeza dalam sejarah Louis Vuitton. Dari Keepall hingga ke Speedy, Noé dan Alma, namun ia tidak terasa seperti pameran. Sebaliknya, ia seperti menyusuri evolusi perjalanan itu sendiri. Saya menghargai ritma pengalaman ini, ada momen yang terbuka, kemudian lebih intim, sebelum kembali luas. Seperti sebuah pengembaraan sebenar yang penuh jeda dan transisi.

Momen personal paling memberi kesan kepada saya. Servis personalisasi dan hot-stamping walaupun kecil, terasa bermakna. Ia mengingatkan bahawa barangan yang kita bawa akhirnya menjadi sebahagian daripada cerita hidup kita. Saya juga menikmati pengalaman di Noé Bar, terutamanya kolaborasi bersama Messenger Service Bar. Ia terasa seperti jeda semula jadi, bukan sesuatu yang dirancang, tetapi sesuatu yang berlaku dengan tenang. Keseimbangan antara penceritaan dan momen-momen kecil inilah yang membuatkan pengalaman ini terus melekat dalam ingatan.

3. Ruang manakah yang paling anda gemari dan mengapa?

Alma Terrace mungkin ruang kegemaran saya secara keseluruhan. Peralihan ke ruang terbuka yang dipenuhi cahaya itu terasa seperti satu kebebasan selepas melalui pelbagai aras. Ia memberi ruang untuk berhenti sejenak dan merenung. Dengan suasana Paris di sekeliling, ia terasa seperti berada di destinasi lain. Halus, tidak berlebihan, tetapi cukup untuk mengubah perspektif saya. 

Pada masa yang sama, saya juga tertarik dengan Speedy Room 1930, tetapi atas sebab berbeza. Saya suka bagaimana ruang itu tidak sekadar pameran beg, tetapi menceritakan kisah di sebaliknya. Susun atur seperti bilik persalinan serta elemen charms menjadikannya terasa lebih peribadi. Seolah-olah kita melihat bagaimana ia menjadi sebahagian daripada kehidupan seseorang.

Instalasi telefon vintaj juga memberi pengalaman berbeza. Ianya lebih perlahan, lebih bermakna. Bagi saya, Alma Terrace adalah ruang sempurna untuk mengakhiri perjalanan, manakala Speedy Room adalah tempat untuk benar-benar mendekati cerita di sebalik setiap perincian.

Kredit gambar daripada Louis Vuitton dan Ming Han (@minghan1004)

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down