LANGGAN

5 Band Indie Tempatan yang Menghembus Nafas Baru dalam Industri Muzik

Update playlist anda dengan 5 band tempatan ini.
Published: May 20, 2026
band indie
Sumber ihsan Dukes.

Ruang muzik independent terus berkembang dengan hadirnya generasi baharu kumpulan muzik atau band indie. Mereka menentang sempadan genre sambil mengumpul pendengar setia sendiri. Daripada dreampop sehingga math rock, kumpulan-kumpulan ini mewakili kepelbagaian bunyi dalam ruang underground di Malaysia hari ini. Sama ada membuat persembahan di festival muzik kenamaan, jelajah antarabangsa ataupun mengeluarkan muzik yang sangat peribadi, setiap band ini membentuk identiti sendiri. Mereka juga membuktikan keunikan industri muzik tempatan.

1. FUAD

Gambar ihsan FUAD.

Ditubuhkan pada tahun 2019 oleh pasangan adik beradik, Arief Fuad dan Lisa Fuad, kumpulan ini menghasilkan muzik gabungan dreampop dan alternative rock yang dipenuhi alunan gitar atmospheric dan melodi penuh emosi. Duo ini telah pun menjadi nama terkenal dalam ruang muzik indie melalui persembahan di pelbagai festival muzik seperti Tapau 10 Tahun, TONGTONG Asia's GRRRLS! To The Front dan juga telah ditetapkan menjadi pembuka konsert bagi Softcult, kumpulan genre shoegaze dari Kanada, pada Jun akan datang. Sementara meluaskan jangkauan pendengar ke luar Malaysia, band ini juga berhasrat untuk mengeluarkan album sophomore mereka dan juga untuk membuat lebih banyak persembahan di luar negara.

2. Spooky Wet Dreams

Band indie
Sumber ihsan Spooky Wet Dreams.

Sejak 2015 Spooky Wet Dreams telah mengukir tempat unik dalam ruang alternative indie dan garage dengan bunyi segar mereka. Terdiri daripada Shazwan Ze, Nani Zul, Matt Liew, Arief Fuad, Netunoblu dan Salihin Rizal, kumpulan ini telah meraih pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi penampilan di NME dan South China Morning Post. Lagu mereka, 'Air Mata Buaya,' turut tular di TikTok dan mengumpul lebih sejuta strim. Lagu itu juga memperkenalkan band ini kepada lebih ramai pendengar di Indonesia. Spooky Wet Dreams turut membuat persembahan di pelbagai festival muzik termasuk Hausboom Music Festival dan JakCloth Festival. Dalam masa sama, mereka sedang membina momentum untuk material baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

3. Dukes

Band indie
Sumber ihsan Dukes.

Antara band indie baharu yang semakin naik dalam industri ini adalah Dukes. Diasaskan pada tahun 2023, kumpulan muzik ini terkenal dengan persembahan penuh semangat mereka dan pengaruh kuat dari British pop rock. Terdiri daripada Ziggy, Rayyan, Umar, Haziq dan Cheng, band ini menggabungkan semangat retro rock dengan kesegaran indie moden, berinspirasikan The Beatles, Oasis dan The Strokes. Sejak rilis single pertama mereka 'Girls', Dukes terus membina momentum dengan mengeluarkan 'Laila' dan 'Little Talks'. Momentum ini juga diteruskan dengan persembahan di acara seperti Samsung Galaxy Land TRX dan Universal Campus Tour. Dengan pelancaran album sulung mereka tak lama lagi, kumpulan ini berharap untuk terus menikmati perjalanan muzik ini sambil berusaha untuk menyebarkan muzik mereka ke lebih ramai pendengar.

4. The Filters

Sumber daripada Luqman al-Hakim

Menggabungkan ritma halus bersama naratif penuh emosi, The Filters telah mengangkat genre "fractional math rock" tersendiri sejak 2013. The Filters, terdiri daripada Ian Francis Khoo, Aiman Shakirin, Reuben Ravi dan Iain Chan. Kumpulan ini mula membuat persembahan secara langsung bermula dari tahun 2017 sebelum melancarkan album sulung mereka pada tahun 2021. Walaupun menerima pengiktirafan daripada NME Awards dan juga penampilan pada Audiotree Worldwide, kumpulan ini menganggap kepulangan bassist mereka, Reuben Ravi ke pentas setelah mengalami kemalangan kereta, sebagai pencapaian paling bermakna bagi mereka. The Filters juga sedang menyediakan album kedua mereka sambil meneruskan usaha untuk meluaskan jangkauan math rock.

5. Teh Tarik Senja

Sumber ihsan Teh Tarik Senja.

Ditubuhkan pada tahun 2021 dan dianggotai Chay, Haziq, Rafael dan Amill, Teh Tarik Senja menggabungkan penulisan lirik yang emosional serta alunan gitar yang bertenaga. Momentum mereka terus berkembang apabila berjaya menjadi finalis Anugerah Lagu Indie 2024 serta menerima pencalonan Best New Artist daripada JUICE. Dengan single baharu berjudul 'Teka-Teki' dan sebuah lagi EP sedang dalam perancangan, Teh Tarik Senja berharap untuk terus berkerja bersama sehingga lanjut usia sambil membawa muzik mereka menjelajah ke seluruh Malaysia.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down