Bila sebut nama Kimi Antonelli, pastinya ramai sudah mengenali bintang muda yang semakin mencuri perhatian dalam dunia Formula 1 ini. Pada usia baru 20 tahun, Andrea Kimi Antonelli membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai impian besar. Pelumba kelahiran Bologna, Itali ini kini mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia Formula 1 termuda sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah sukan permotoran dunia.
Sepanjang musim 2026, Antonelli tampil dengan prestasi yang cukup membanggakan bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS. Dengan sembilan kemenangan Grand Prix, dia membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar pelumba muda. Antonelli juga hadir untuk mencuba nasib tetapi mempunyai kemampuan untuk bersaing dan merebut kedudukan tertinggi. Walaupun baru memasuki musim kedua dalam Formula 1, Antonelli sudah berjaya mencapai sesuatu yang menjadi impiannya sejak kecil lagi.

Baru-baru ini, impian tersebut akhirnya menjadi kenyataan apabila Antonelli mengesahkan kejuaraan dunia menerusi kedudukan ketiga di Grand Prix Mexico City. Walaupun Max Verstappen berjaya meraih kemenangan perlumbaan, diikuti Lewis Hamilton di tempat kedua, keputusan Antonelli di tempat ketiga sudah cukup untuk mengumpul mata yang diperlukan bagi mengunci gelaran juara dunia musim ini.

Lebih menarik, kejayaan tersebut turut menyaksikan Antonelli memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai pelumba termuda yang pernah memenangi Kejuaraan Dunia Formula 1. Vettel sebelum ini memegang rekod berkenaan pada usia 23 tahun ketika menjulang gelaran pada 2010. Kini, Antonelli mengambil alih kedudukan tersebut pada usia hanya 20 tahun.
Bukan itu sahaja, Antonelli turut menjadi pelumba Itali pertama memenangi kejuaraan dunia sejak Alberto Ascari pada 1953. Satu pencapaian yang cukup bermakna buat negara kelahirannya, selain menjadi permulaan kepada satu lagi perjalanan besar dalam karier perlumbaannya.
Daripada impian yang dibina sejak kecil, kini Antonelli sudah pun berdiri sebagai juara dunia pada usia yang cukup muda. Ini mungkin baru permulaan buat Kimi Antonelli dan pasti peminatnya tidak sabar untuk melihat apa lagi yang bakal dibawanya ke litar Formula 1 pada musim akan datang.