

Bertempat di butik CROSSOVER di The Exchange TRX, acara ini menampilkan sesi tandatangan eksklusif bersama Poggy, di samping pelancaran produk edisi terhad hasil kolaborasi antara CROSSOVER, Carhartt WIP dan Poggy sendiri. Buku ini menceritakan tentang cara menggabungkan gaya formal dan kasual, semangat streetwear dengan gaya tradisional barat. Lebih daripada sekadar panduan berpakaian, POGGY STYLE merupakan refleksi gaya hidup yang mengutamakan ekspresi diri, keaslian dan seni dalam berpenampilan.

Dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur, ELLE Men berkesempatan berbual bersamanya. Teruskan membaca jika anda peminat Poggy!
Apakah maksud di sebalik ‘Dressing for Work and Play’?
Saya sukakan sut, tapi dalam masa sama saya juga tertarik dengan fesyen jalanan. Dari situ timbul idea untuk menggabungkan kedua-duanya, dan itulah inti gaya yang saya kongsikan di dalam buku ini.
Item asas yang penting dalam almari setiap lelaki dan kenapa?
Saya rasa setiap lelaki perlu bermula dengan jaket yang baik, kemudian sepasang kasut kulit berkualiti, diikuti jeans dengan potongan sempurna serta T-shirt kegemaran anda. Empat item ini sudah cukup untuk membina asas gaya yang kukuh. Dari situ, cara anda menyuai padan akan menambah lapisan karakter dan kemudian personaliti sebenar anda akan lebih terserlah.
Tip gaya untuk pembaca ELLE Men?
Saya percaya jenama Eropah dan Jepun masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, tetapi jangan lupakan jenama lokal. Cuba gabungkan kesemuanya untuk mencipta gaya yang hanya anda miliki. Saya harap anda berani menyusun gaya yang benar-benar unik kepada diri anda dan mempersembahkannya kepada dunia.