LANGGAN

Paris Men’s Fashion Week: Jukstaposisi Mengubah Klasik Di Dior Musim Bunga/Panas 2027 

Merevolusikan klasik. Daripada DIOR Musim Bunga/Panas 2027.
Published: June 29, 2026
dior spring summer 2027

Simbahan gelombang haba 40 darjah di Paris menggugat hangat kulit sampaikan berkeringat dan meminar mata, mencongak agakan Dior Spring Summer 2027 atau Musim Bunga/Panas 2027 untuk mengubah waktu pertunjukan pentasnya. Asalnya jam 2.30 petang namun ditukarkan awal ke jam 9.00 pagi… adalah keputusan tepat yang dibuat oleh pasukan Dior. Tak terduga panas di Paris ‘mengacau’ sedikit perjalanan kalendar Minggu Fesyen Lelaki Paris. 

Apalagi pertunjukan Dior kali ini diadakan di Musée Nissim de Camondo, yang berkelanjutan sehingga ke bahagian halaman luar muzium tersebut yang pastinya takkan disergah angin untuk melenyapkan kepanasan. Jadi, ketemu akal juga mengapa ada pertukaran waktu. 

dior spring summer 2027

Ia kemudiannya berkecambah ke satu pertanyaan yang berbekas buat Jonathan Anderson, selaku Pengarah Kreatif – mengapa Musée Nissim de Camondo? 

Jelas Jonathan, dia mahu memulih cintanya buat kesejarahan Musée Nissim de Camondo dan mempertalikan ia dengan kekinian. Jonathan membuka peti akal kita untuk menerka satu kepastian bahawa ada gabungan antara yang usang dengan yang baharu. Merentas ketidaksempurnaan, mencari keindahan yang tak terpermanai. Atas dasar itu, Jonathan memilih Nissim the Camondo Museum yang mampu membajakan ‘dialog’ itu. Merenda harapan untuk membidik sasaran agar wujudnya pemahaman sepantas kilat di kalangan audiens. 

dior spring summer 2027
dior spring summer 2027
dior spring summer 2027
dior spring summer 2027
dior spring summer 2027
dior spring summer 2027
dior spring summer 2027

Dior Musim Bunga/Panas 2027 umpama mengenakkan jangkauan batas ‘sprezzatura’ - misalnya, formaliti sengaja ditampilkan tidak terurus. Lantaran itu, himpunan ini memperlihatkan tuksedo dikahwinkan dengan jean koyak atau kot klasik berpadu dengan seluar pendek. Atau lapel tuksedo bercantuman dengan badan baju jaket adang angin dan jaket denim dipakai bersama dasi formal. Jonathan melihat himpunan ini untuk mengenal pertentangan dan menyelidik sinergi.

Jonathan menanggalkan kelaziman, menata ia dalam nikmat transformasi. Sesuatu yang serasa familiar, sengaja diolah semula, diubah menjadi sesuatu yang baharu pada pandangan kita. Tiada pertentangan keras dalam konsep pemakaian untuk himpunan musim ini. Dalam temu bual bersama Jonathan, dia malah menyebut “Fred Again” yang menjadi rakan kolaborasi dalam menghasilkan runut bunyi untuk pentasnya dan Fred Again mengintegrasikan karya muzik – daripada KTNA, Mabe Fratti, Jamie T bersama vokal oleh Christine and the Queens – yang bertumbuh seiring dengan persembahan setiap rekaan-rekaan Dior. 

Dior menerokai idea untuk mereplikakan era-era yang berbeza untuk diolah, dibentuk menjadi satu ciptaan yang tak diduga mendatangkan jaya. 

dior spring summer 2027

Melangkaui batas klasik pakaian lelaki dan memperdaya kita dengan pendekatan fluidity. Jonathan menjaja pengisian adicita pendekatan bebas dan pada masa yang sama, dia cermat dalam merevolusikan aspek pemakaian. Kesengajaan tuksedo diubah untuk tidak lagi menurut konformis, dibiarkan lembut dari segi proportion dan malah, disrupt fabrik warisan – contohnya corak houndstooth dicetak, lantas mencerminkan ilusi pelihatan. Apakah ini diperhitungkan sebagai aspek trompe l’oeil? Ya, kebolehjadian itu ada.

Melengah-lengahkan pancaindera kita, yang mendorong kepada satu rasa mana realiti dan mana persepsi. Itulah yang menjadi pengamatan musim ini. Yang membikin kejauhan rasa kita pada peraturan sebenar dalam berpakaian. Contohnya, corak bintik polka yang bukan dicetak, sebaliknya dikerjakan dalam rupa susunan sulaman manik, jemeki bersama manik tubular. Manakala kemeja sutera dengan butiran sulaman, menghidupkan kembali motif trompe l’oeil pada selendang yang diselongkar dari arkib haute couture Dior sekitar era 70-an. Tekstur lisu mikro yang memang diniatkan untuk ‘mencela’ corak genggang dan gabung padan stail rejimen dengan gaya bersahaja.  

Keelokan dalam ketidaksempurnaan yang dikira lumayan oleh Jonathan. Ia bertunas pula ke barisan rekaan-rekaan aksesori yang juga memperlihatkan konsep ‘kusut’ dan tidak sempurna. Ini pula merupakan bagian ilham Jonathan yang berlanjutan menyatukan dialog masa lampau dengan masa kini, di samping rekaan-rekaan kasut lain yang masih kekal siluet klasik. Melewati rekaan-rekaan beg, motif Cannage masih lagi tertulis dalam ‘prosa’ ilham Dior Spring Summer 2027, diterjemahkan pada beg tote denim lembut dan juga beg tote yang terhias tipografi ‘Kiss Me’. 

dior spring summer 2027
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down