Dolce & Gabbana adalah ‘arkitek fesyen’ Itali. Kecerdasan akal budi Domenico Dolce dan Stefano Gabbana yang tidak pernah mengorbankan nilai Itali dalam setiap rekaan serta meniti batas-batas budayanya, membuatkan kita (sebagai pencinta fesyen) dilingkari oleh ideologi, di samping perlambangan yang sangat kuat. ‘Sartorial’ sejujurnya adalah konotasi tepat Dolce & Gabbana.

Dolce & Gabbana memperkenalkan Sartoria Musim Bunga 2026 – menafaskan semula kehalusan maskulin klasik menerusi kematangan perspektif kontemporari. Mereka meninggikan tingkatan biduan atau sosok divo dari era 30-an (sinonim dengan budaya Itali), menggarap lambang kepesonaan divo ini untuk dijadikan sebagai sendi ilham. Ia tertuju kepada tafsiran baharu yang mengahwinkan tradisi dengan inovasi.
Kerja jahitan ditonjolkan pada rekaan-rekaan sut, yang diperbuat daripada material baldu dan sutera. Diperelok dengan butiran-butiran halus seperti butang-butang berupa batu permata dan kemasan kristal yang merantai perhatian serta konstruksi lapel lebar pelbagai versi. Bahagian linings pula dihasilkan dengan menggunakan fabrik crepe de chine dan sutera, menampilkan corak polka dot serta motif Leo.

Sartorial elegance diimaginasikan semula dengan dengan sentuhan playful seperti motif petak besar, corak jalur pin dan seluar pinggang bertali cerut. Sebarisan sut tone-on-tone berona pastel lembut pula dimadukan bersama kemeja crepe de chine atau sutera twill, manakala motif floral dan geometri yang diinspirasikan daripada era 30-an menyuntik movement pada siluet.
Idea kreatif Dolce & Gabbana tak berhujung. Sudah tentu, himpunan pakaian formal juga menjadi tumpuan. Seperti helaian tuksedo dengan material sutera yang berona kontra, siluet relaks yang menampilkan jaket jacquard sert baldu, lapel shawl dan bentuk pinggang cinched bersama tali pinggang sutera. Membangkitkan tenaga kekolejan yang cukup signifikan musim ini, helaian-helaian kasual menggambarkan semangat kampus menerusi lambang kebangsawanan yang direka khas untuk Dolce & Gabbana.
Berpaling haluan ke aksesori, kasut-kasut Dolce & Gabbana Sartoria Musim Bunga 2026 hadir dengan rekaan era 30-an serta 40-an, contohnya kasut berjumbai two-tone dan Marsala Derby yang ‘dihidupkan’ Kembali dalam versi monk strap dan Oxford. Dua beg ditonjolkan sebagai aksesori utama, yakni Vittoria dengan pemegang reversible dan beg Marlene yang berbentuk bulat dalam rona baharu.