LANGGAN

 Fenomena Jersi Dalam Industri Lokal

Trend blokecore dan athleisure menghidupkan semula jersi dalam budaya streetwear yang kian bertumbuh.
Published: March 2, 2026
Jersi Rhythm in Motion

Tidak dapat dinafikan, lelaki dan sukan tidak boleh dipisahkan. Hubungan ini lantas sering mengaitkan fesyen lelaki dengan sportswear, menjadikan jersi bukan sekadar uniform rasmi, tetapi ikon gaya yang ikonik dan relevan. Daripada padang ke jalanan, jersi terus mengekalkan statusnya sebagai simbol fesyen lelaki, satu trend yang masih membara dan tidak pernah surut di pasaran Malaysia.

Bagi ramai lelaki, jersi melambangkan kesetiaan, personaliti dan rasa bangga. Sama ada ingin menunjukkan sokongan terhadap kelab kegemaran atau bereksperimen dengan warna serta grafik berani, jersi menawarkan cara mudah untuk mengekspresikan diri. Aura sporty dan sifatnya yang fleksibel menjadikannya sebagai pilihan utama untuk digayakan bersama jean, seluar pendek atau sebagai item layering untuk tampilan lebih bergaya.

Jersi kolaborasi Compass®, FDMTL™ dan CROSSOVER

Dengan fabrik yang ringan, breathable dan sesuai untuk bergerak, jersi memberikan keseimbangan sempurna antara gaya dan keselesaan. Satu gabungan yang ramai lelaki hargai kerana boleh bergaya tanpa perlu mengorbankan keselasaan, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Lebih menarik, gelombang ini bukan hanya dikuasai jenama antarabangsa. Jenama lokal streetwear di Malaysia turut berlumba-lumba mengeluarkan jersi rekaan mereka, sambil membina cult mereka yang tersendiri. Generasi muda, terutamanya Gen Z, semakin mengangkat jersi sebagai item fesyen disebabkan kemunculan trend seperti blokecore, blokette dan athleisure, gabungan gaya sukan dengan perincian mewah yang tular. Fenomena ini memberi nafas baharu kepada gaya jersi dan streetwear yang kini kembali digayakan dalam bentuk lebih moden, kreatif dan ekspresif.

Jersi All Love x AGAINST LAB

Jersi Daripada Mata…

“Istilah yang digunakan adalah Lux Sportswear (pakaian sukan mewah) dan it’s a big yes for me. Terutamanya apabila digayakan secara minimalis. Saya mempunyai beberapa jersi, bukan sahaja daripada kelab bola sepak, tetapi juga jersi ragbi daripada All Blacks.” - Ridduan TTFGA Ismail / @ttfga

“Jersi kini menjadi salah satu staple dalam streetwear dengan warna menonjol, grafik menarik dan potongan selesa. Fabriknya yang ringan serta berpengudaraan baik menjadikannya pilihan sempurna untuk iklim Malaysia.” - Ajmal Danial / @ajmaldanial

“Jersi asalnya direka untuk sukan, tetapi kini ia menguasai the style scene. Ia merupakan gabungan sempurna antara sporty dan ikonik. Sememangnya peminat energi blokecore dan blockette ini.” - Penguin Chin / @penguinchin

Scene jersi tempatan kini sedang berkembang. Sebelum ini, rekaannya selalu mengikuti template yang biasa kita lihat dalam jenama lokal. Tetapi kini, mereka semakin kreatif, daripada segi grafik, cara jersi itu dihasilkan dan juga penggunaan panel yang lebih kompleks.Yeah, I do think the local scene you see now is getting better.” - Amirul Danial / @ihateamiruldanial

“Hubungan saya dengan jersi bermula dengan bola keranjang. Saya terpesona dengan jersi nombor 23 kerana Michael Jordan, figura yang paling dikagumi era itu. Pada tahun 1990-an, hip hop meningkat naik dan di malaysia, gelombang itu dirasai melalui Too Phat. Jersi menjadi sebahagian daripada budaya itu. Potongan oversized, siluet berani dan identiti yang dibentuk oleh muzik dan gerakan. Begitulah saya mula memahami jersi sebagai sesuatu yang lebih mendalam daripada sekadar pakaian sukan.” - Amirul Ooi Ashraf / @amirulooiashraf

“Di Malaysia, jersi sering dikaitkan dengan pakaian kasual atau streetwear, tetapi saya percaya ia mempunyai potensi yang jauh lebih besar. Sebagai seorang pereka yang kerap bekerja dengan cut-and-sew garments, saya melihat jersi sebagai material yang sangat versatil — fleksibel, mudah dibentuk dan hadir dalam pelbagai ketebalan serta tekstur. Setiap variasi memerlukan teknik pengendalian, kaedah kemasan dan pertimbangan struktur pakaian, menjadikan jersi sebagai fabrik yang kaya daripada segi teknikal dan ekspresif secara kreatif.” - Kit Woo / @kitwoo



Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down