LANGGAN

Seleksi Kereta Retro Ikonik yang Menjadi Idaman Lelaki 

Kereta vintaj juga tetap menjadi pilihan ramai jejaka di luar sana!
Published: August 13, 2025

Bagi lelaki yang meminati dunia automotif, kereta bukan sekadar kenderaan. Ia adalah simbol kebebasan, prestij dan kadangkala, sebuah kapsul masa yang membawa kita kembali ke era di mana pemanduan adalah seni. Kereta-kereta retro ini bukan sahaja memukau dari segi reka bentuk, malah menghidupkan semula semangat zaman keemasan automotif. Ketahui pilihan 9 kereta retro yang digilai ramai lelaki.

Ford Mustang (1967 Fastback)

Bayangkan anda memulas kunci, bunyi deruman enjin V8 memenuhi udara dan getaran halus terasa di stereng. Mustang ’67 Fastback ini adalah simbol kebebasan Amerika. Popular selepas filem Bullitt lakonan Steve McQueen, bentuknya yang aerodinamik, lampu depan yang ganas dan garisan badan yang berotot menjadikannya idaman setiap penggemar muscle car. 

Chevrolet Camaro SS (1969)

Rival abadi kepada Mustang, Camaro SS ’69 terkenal dengan reka bentuk yang agresif dan prestasi yang menggugat. Di lebuh raya, ia memberi rasa dominasi – seolah-olah kereta lain hanyalah bayang-bayang. Bunyi enjinnya yang dalam dan berat mampu membuatkan setiap orang berpaling kepala sebelum anda muncul di selekoh.

Dodge Charger (1969)

Kalau ada kereta yang melambangkan ‘bad boy’ dalam dunia automotif, Dodge Charger adalah kereta itu. Terkenal dalam The Dukes of Hazzard dan Fast & Furious, Dodge Charger ’69 adalah muscle car yang penuh karisma. Lebarnya yang gagah, dipadankan dengan enjin big-block, memberikan rasa seperti memandu sebuah kuasa besar di jalan raya.

Porsche 911 Carrera RS (1973)

Porsche 911 ini adalah contoh terbaik kereta Eropah yang menggabungkan keanggunan dan prestasi. Reka bentuknya kekal hampir sama hingga ke hari ini — tanda betapa sempurnanya bentuk asal. Memegang stereng Carrera RS memberikan rasa kawalan sepenuhnya, seolah-olah anda dan kereta bersatu dalam pemanduan. 

Jaguar E-Type (1960)

Enzo Ferrari sendiri pernah memanggilnya “kereta tercantik pernah dibina.” Jaguar E-Type adalah simbol kemewahan dan gaya British. Ia bukan sekadar cantik di mata, tetapi juga memberikan pengalaman pemanduan yang halus namun bertenaga. Memecut di jalan raya dengan E-Type terasa seperti babak romantis dalam filem klasik.

Ferrari 250 GTO (1962)

Ini bukan sekadar kereta — ia adalah karya seni. Hanya 36 unit dihasilkan, menjadikannya antara kereta paling bernilai di dunia. Memiliki 250 GTO adalah seperti memiliki sebahagian sejarah automotif Itali. Setiap lekuk badan dan deruan enjin V12 menceritakan kisah tentang era perlumbaan yang penuh keberanian.

Kredit gambar: Instagram - @johntemerian

Nissan Skyline GT-R Hakosuka (1969–1972)

Inilah permulaan legenda GT-R. Digelar 'hakosuka' (gabungan perkataan kotak dan skyline dalam bahasa Jepun), ia adalah kereta lumba jalanan yang membawa DNA perlumbaan ke jalan raya. Pemanduan hakosuka memberikan rasa seperti mengawal mesin buas yang penuh disiplin.

Mazda RX-3 (1971–1978)

Kereta ini adalah 'pemberontak' dalam dunia JDM. Enjin rotary-nya memberi bunyi yang unik, nyaring dan penuh karakter. RX-3 pernah menjadi juara jalanan di Jepun dan Australia, dikenali kerana kelincahannya di selekoh serta rupa retro yang memikat.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down