
Musim perayaan hadir dengan satu janji, kesempatan untuk bermula semula serta menemui diri yang baharu. Dan tahun ini, Coach mahu meraikan dengan penuh keberanian. Melalui kempen terbaharu bertema ‘The Gift for New Adventures’, jenama ikonik dari kota New York itu membentangkan sebuah dunia penuh harapan yang dihiasi wajah-wajah yang cukup kenali.
Barisan bintang yang disatukan termasuk Elle Fanning, Charles Melton, Kōki, SOYEON, serta pendatang baharu iaitu Griff dan Ravyn Lenae. Keenam-enam bintang ini bukan sekadar pilihan estetik, mereka adalah refleksi kepada semangat generasi kini yang hidup berasaskan ekspresi, keaslian dan keyakinan diri.

Dalam kempen ini, Coach mempersembahkan sebuah penceritaan sinematik tentang detik-detik kecil yang membawa momen besar. Mungkin sekadar membuat persiapan untuk memulakan pengembaraan baharu, menyambung kembali hobi yang pernah ditinggalkan atau meluangkan masa bersendirian untuk mencari ilham.
Di setiap momen itu, beg tangan Coach hadir sebagai peneman nan sejati. Malahan ia menjadi penanda bahawa keyakinan selalu boleh disarungkan sama seperti aksesori fesyen kegemaran. Bagai pemberian yang lebih dari sekadar hadiah.

Di bawah lensa dan arahan Dan Beleiu, kempen ini meraikan variasi momen kembara musim perayaan yang cukup menyeronokan. Charles Melton melangkah dalam pengembaraan luar kota, Elle Fanning pula bersiap sedia untuk pengembaraan baharu dengan beg Tabby dan Empire 48 di sisinya, berlatarkan stesen keretapi. Manakala SOYEON ditemani beg Tabby terbaharu, tiba-tiba mendapat ilham untuk projek seterusnya di tempat bersalji.
Setiap visual terasa seperti bingkai filem perayaan yang moden, bersama rangkaian beg tangan yang menjadi tarikan utama. Tabby hadir dalam siluet klasik dan muncul sebagai bintang utama. Koleksi keluarga New York family pula seperti Empire, Brooklyn dan Mott Messenger membawa sisi urban yang elegan. Ia adalah simbol keberanian yang boleh dibawa ke mana sahaja. Seolah-olah sebuah aksesori peribadi yang menyediakan ruang untuk berubah ke masa hadapan.

Koleksi perayaan Coach musim ini bukan hanya sekadar aksesori. Ia hadir bersama himpunan sedia-pakai musim dingin seperti kot Teddy yang selesa. Juga jaket puffer shearling, gaun yang memeluk siluet feminin, serta jaket kulit yang serba ranggi. Tidak dilupakan, pelengkap gaya ialah kasut Soho Sneaker yang berani dalam memberi sentuhan effortless untuk menyempurnakan gaya keseluruhan.