Saat tirai tahun baru hampir dibuka, cahaya keinginan baharu mula terpancar. Segala impian, sasaran dan item idaman disusun dalam senarai peribadi bagi membakar semangat baharu. Kami tampilkan lima pilihan aksesori ELLE Men yang patut berada di puncak wishlist 2026 anda. Teruskan membaca.

Memadukan teknologi dan gaya dengan penuh dramatik, kasut B30 Countdown Tech baharu tampil sebagai simbol baharu dunia larian moden. Diperbuat daripada fabrik teknikal nilon N30 yang ultra ringan dan semi-lutsinar yang bukan sahaja memberi pengudaraan optimum, malah mencipta aura futuristik yang berani. Hasilnya? Sepasang kasut tahan lasak dengan pesona high-tech yang memukau!

Kasut B30 Countdown Tech, Dior

Gelang rantai maskulin yang direka sepenuhnya daripada sterling 925 ini tampil sebagai simbol gaya berani untuk lelaki moden. Aksesori ini dihiasi perincian segi empat eksklusif berukir motif FF yang ikonik, juga dilengkapi klip kotak dengan pengancing keselamatan. Ia juga merupakan sebahagian daripada rangkaian Fendi 925, perhiasan fesyen lelaki terbaharu dengan rekaan berani dan kontemporari, hasil inspirasi dunia batu permata.

Gelang 925, Fendi

Buat si lelaki yang menghargai kepraktisan dan serbaguna, ini untuk anda! Beg Verso Hobo yang inovatif ini direka dengan dua sisi yang boleh diterbalikkan: bahagian luar menampilkan kulit berbutir halus, manakala bahagian dalam mempamerkan sued sewarna. Setiap sisi mempunyai poket dengan tanda V berjahit halus, sementara poket suede boleh tanggal menambah fungsi tambahan.

Beg Verso Hobo, Louis Vuitton

Dicipta daripada kulit lembu mewah yang dilengkapi dengan pemegang kulit dan penutupan zip rapi, beg Vittoria menyatukan gaya sofistikated dengan fungsi praktikal. Tersedia dalam saiz besar dan mini, ia bukan sekadar aksesori, tetapi pernyataan sempurna untuk menyimpan keperluan harian atau melengkapkan penampilan pejabat dengan sentuhan elegan.

Beg Vittoria, Dolce&Gabbana

Bukan sahaja melindungi mata daripada terik sinar UVA dan UVB, Triomphe Men 01 juga menambah elemen gaya dan karakter cool pada penampilan. Rangka asetat berbentuk segi empat dengan lensa smoke menawarkan rasa ringan yang selesa. Logo Triomphe signature di bahagian sisi berona sepadan dengan rangka memberikan sentuhan eksklusif yang sesuai dengan apa jua gaya.

Kaca mata Triomphe Men 01, Celine