LANGGAN

Rahsia Menilai Kualiti Pakaian Seperti Pakar

Adakah pakaian anda benar-benar berkualiti atau mudah rosak selepas beberapa kali cucian? Pelajari cara menilai setiap helaian, terutamanya bagi wardrobe staples.
Published: April 24, 2026
Gambar daripada Pexels

Ada satu tanggapan umum yang sering disalah faham bahawa pakaian lelaki itu bersifat lebih ‘ringkas’ berbanding pakaian wanita. Namun, bagi mereka yang benar-benar memahami selok-belok teknikal pembinaan pakaian, ia sebenarnya menuntut tahap ketepatan yang jauh lebih tinggi. Setiap potongan, keseimbangan struktur dan kemasan jahitan perlu tepat. Siluetnya yang bersih dan terstruktur tidak memberi ruang untuk menyembunyikan ketidaksempurnaan.

Ironinya, ketika ketelitian ini sepatutnya terus menjadi asas, industri hari ini bergerak ke arah bertentangan secara drastik seiring dengan kebangkitan ultra-fast fashion. Dahulu, pakaian dihasilkan untuk bertahan bertahun-tahun, malah mampu diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Hari ini pula, semakin ketara bahawa helaian di rak kedai gagal mencapai standard kualiti yang diharapkan. Selepas hanya dua hingga tiga kali cucian, butang mula longgar, jahitan terurai, fabrik mengecut atau berbulu dan banyak lagi masalah lain. 

Adakah ini semua satu strategi? Barangkali, ya. Budaya fast fashion bukan sahaja mempercepatkan kitaran trend tetapi secara halus mengubah cara kita membeli dan menghargai pakaian. Akibatnya, pakaian dihasilkan bukan untuk kekal lama, sebaliknya untuk digantikan dengan cepat. Sebagai contoh, apabila butang kemeja tercabut, berapa ramai lelaki yang mahir dan akan menjahitnya semula? Atau adakah lebih mudah untuk terus membeli yang baharu sahaja? 

Realitinya, bukan sahaja fesyen, industri lain seperti perabot, elektronik dan barangan lain juga semakin kurang berkualiti. Sebahagian besarnya kerana usaha pengurangan kos, pengeluaran berskala besar dan budaya penggunaan pantas. Pengguna kini beralih daripada prinsip “beli sekali, guna bertahun-tahun” kepada “beli ikut trend, ganti lebih kerap”, dengan kesan jangka panjang yang bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan, tetapi juga menjejaskan nilai sebenar dan kepuasan dalam menggunakan sesuatu barangan itu.

Lebih ketara, harga kini tidak lagi menjadi ukuran sebenar kepada kualiti. Anda boleh membelanjakan jumlah yang besar untuk mendapatkan barangan daripada sesebuah jenama mewah, namun sebahagian besar nilai tersebut sebenarnya datang daripada nama jenama itu sendiri, bukan daripada tahap kualiti dan ketelitian ketukangannya.

Bahkan, pakaian secondhand atau thrift kadangkala menawarkan tahap kualiti yang lebih kukuh. Perubahan ini bukan sahaja dapat dilihat pada pembinaan pakaian, tetapi juga pada komposisi fabrik itu sendiri. Jika dibandingkan antara jean dahulu dan sekarang, jean lama lebih keras, tebal dan berstruktur, manakala jean moden lebih fleksibel, selesa dan ‘stretchy’. Bagi jean lama, proses pemakaian dan cucian secara semula jadi menghasilkan efek aging atau fade yang sering dianggap estetik. Namun, bagi jean moden, cucian yang terlalu kerap cenderung mempercepatkan kerosakan fabrik. Begitu juga dengan fabrik korduroi yang dahulunya sangat tebal, kini terasa lebih ringan dan kurang berstruktur.

Bukan sahaja fabrik denim dan korduroi, malah fabrik moden lain semakin terasa murah, kurang selesa dipakai serta memerangkap bau badan akibat pengudaraan yang lemah. Ia juga mudah rosak, berbulu atau kehilangan struktur selepas beberapa kali cucian. Lebih membimbangkan, campuran bahan sintetik dalam fabrik ini lebih sensitif terhadap haba. Ia turut meninggalkan kesan kilap, melekat atau berubah tekstur apabila di seterika terlalu lama. Jelas, ia bukan sahaja kurang berkualiti dan mudah rosak, malah cepat kehilangan nilai estetiknya dalam tempoh yang singkat.

Namun, ini bukanlah seruan untuk menolak semua pakaian moden. Sebaliknya, untuk memahami dan mempelajari struktur pembuatan pakaian. Lihat pada jahitan, komposisi fabrik dan pembinaan keseluruhan. Kualiti yang baik masih boleh ditemui sama ada pada label designer, high street mahupun thrift (asalkan anda tahu apa yang perlu di cari).Memandangkan kita tidak memiliki kuasa untuk mengubah industri, pilihan kini terletak pada diri sendiri. Ia bukan sekadar tentang menilai pakaian sebelum membeli, tetapi juga mengembalikan nilai serta penghormatan terhadap setiap helaian. Pilih pakaian yang membuatkan anda berasa yakin, selesa dan tahan lama, terutamanya wardrobe staples. Pada masa yang sama, kita juga perlu menerima realiti dunia bahawa pakaian berkualiti rendah, sama ada yang bakal dibeli mahupun yang sudah dimiliki, menuntut penjagaan yang lebih teliti.

Gambar daripada Pexels

Cara Menilai Kualiti Pakaian

Daripada segi teknikal jahitan dan konstruksi pakaian.

  1. Jahitan: Jahitan yang terlalu panjang menjadikan sambungan kain lebih lemah dan mudah terurai. Kehadiran benang longgar atau terurai menunjukkan kekurangan ketelitian dan kemasan akhir yang tidak sempurna.
  2. Padanan corak: Corak seperti jalur, kotak atau tartan perlu dipadankan dengan teliti pada bahagian panel sambungan. Ketidakselarasan jelas menunjukkan pengurangan kos atau kurang kawalan kualiti.
  3. Zip: Zip yang lebih lebar dan kukuh lebih tahan lama, manakala zip halus (terutamanya jenis tersembunyi) lebih mudah rosak terutama pada pakaian yang ketat.
  4. Seam allowance: Lebar antara tepi kain dan garisan jahitan yang lebih luas menandakan pembinaan yang lebih baik serta memberi ruang untuk alteration.
  5. Kemasan tepi kain (overlock): Overlock yang digunakan tanpa sokongan jahitan utama adalah lemah dan mudah terurai.
  6. Lapisan dalam (lining): Lapisan kain dalam penting untuk melindungi struktur dalaman dan meningkatkan keselesaan pemakaian, terutamanya pada jaket atau blazer tailored serta kain yang tidak selesa.
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down