Tatkala tirai Festival Filem Cannes ke-77 dilabuhkan, tumpuan bukan hanya pada filem-filem hebat yang dipertontonkan, tetapi juga pada detik-detik fesyen yang mencuri perhatian di karpet merah. Dan walaupun gaun mewah wanita sering menjadi tumpuan utama, tahun ini para lelaki turut menarik perhatian dengan gaya yang berani serta potongan yang tidak konvensional.
Pedro Pascal mencetus sensasi di media sosial dengan penampilan sleeveless yang serba hitam daripada Calvin Klein Collection. Minimalis namun berani, look ini membuktikan bahawa kesederhanaan boleh menjadi pilihan paling bergaya.
Patrick Schwarzenegger memilih pendekatan klasik menerusi sut rekaan Balenciaga, menunjukkan bahawa gaya tradisional yang dipakai dengan sempurna tetap relevan dan menawan. Robert Pattinson pula hadir dengan aura cool yang menjadi identitinya, mengenakan helaian dari Dior yang menggabungkan kemewahan klasik dan potongan moden.
Riz Ahmed tampil dengan antara gaya paling progresif tahun ini. Jaket cropped berona kelabu bersama seluar padanan daripada Prada memberi siluet baharu yang kontemporari, ringkas namun berbeza.
Tidak ketinggalan, Alexander Skarsgård tampil mengejutkan dengan gaya santai di tayangan filemnya ‘Pillion’ mengenakan T-shirt putih bercetak daripada Loewe bersama seluar leather hitam. Satu penampilan yang terasa segar dan tidak dijangka.
Daripada sut klasik sehingga ke potongan eksperimental dan gaya mewah, karpet merah Cannes tahun ini membuktikan bahawa fesyen lelaki tidak lagi statik. Ambil inspirasi daripada selebriti-selebriti ini untuk acara anda yang seterusnya!