LANGGAN

Trend Report ELLE Men: 8 Trend Lelaki Musim Bunga/Panas'26 (Bahagian Kedua)

Sambungan trend lelaki untuk Musim Bunga/panas 2026
Published: March 31, 2026

 Kelab Kembara

Apakah persamaan antara aktiviti meredah hutan dan pentas peragaan? Jawapannya terletak pada kebangkitan pakaian utiliti yang kini mendominasi dunia fesyen lelaki. Sejak dahulu, lelaki menghargai gaya yang menyatukan praktikaliti, fungsi dan estetika dalam satu penampilan. Musim ini, pereka fesyen mentafsir semula elemen tersebut dengan sentuhan moden, daripada fabrik tahan lasak dan jaket kalis air, hinggalah perincian utiliti seperti poket berfungsi, zip dan tali boleh laras, kesemuanya direka untuk menemani rentak kehidupan harian yang dinamik.

 Man With Scarf

Lupakan tali leher klasik, musim bunga/panas 2026 beralih kepada skaf segi empat yang tampil dalam variasi rona, cetakan dan ukuran. Sama ada diikat longgar di leher, dililit di pinggang atau digayakan dengan apa jua cara sekalipun, aksesori ini memecahkan kod pekaian tradisional dan menyuntik sentuhan peribadi yang unik pada setiap penampilan.

 The Stack Effect

 Rantai leher kini tidak lagi boleh diabaikan para jejaka. Gaya lapisan rantai dengan panjang berbeza mampu mencipta dimensi, tekstur dan karakter buat lelaki moden. Mutiara, rantai besi atau apa sahaja rekaan, lapiskan kesemuanya dan biarkan aksesori anda yang berbicara. Tanpa ragu, penampilan ini pasti mendapat kelulusan Harry Styles atau A$AP Rocky!

Obsesi Biru

Daripada biru lembut ke biru tua, rona biru musim ini jelas menakluki pentas peragaan. Sama ada untuk gaya korporat yang kemas atau penampilan santai yang effortless, biru kekal sebagai warna serba boleh yang mudah dipadankan dengan palet rona yang lain.

Monokrom Gelap

Black-on-black merupakan trend klasik yang versatil dan sentiasa bergaya. Namun, tanpa warna terang atau corak yang mencuri perhatian, penampilan ini mudah kelihatan hambar, malah anda akan kelihatan seperti bayangan... Justeru, fokus perlu diberikan pada potongan, fabrik dan siluet yang lebih berani. Seperti yang ditampilkan di pentas peragaan Dior Men, Meryll Rogge dan Ferragamo. Permainan tekstur serta tailoring yang kemas adalah kunci untuk menjadikan rona hitam tampil berkuasa, sofistikated dan penuh karakter.

 Gilet atau Vest?

Siapa kata gilet atau vest hanya sesuai untuk musim sejuk? Musim bunga/panas ini menyaksikan item ini berevolusi menjadi lapisan gaya serba guna, digayakan bersama kemeja-T, kemeja berbutang atau dipakai sendirian. Bonus tambahan, ia juga cara paling bergaya untuk menonjolkan fizikal maskulin (dibaca six packs) anda!

Jumbai Jerami

Jenama fesyen klasik seperti Prada dan Emporio Armani mempersembahkan topi jerami beranyam dengan hujung berjumbai, sempurna untuk musim panas. Menyatukan keanggunan high-fashion dengan keselesaan santai ala pantai, topi jerami kini terserlah sebagai aksesori kepala statement yang benar-benar mencuri perhatian.

Benang-Benang Sulaman

Sulaman bukan sekadar hiasan, ia adalah seni yang menuntut kemahiran tinggi dan ketelitian luar biasa. Dolce & Gabbana mengangkat motif flora pada pakaian ala pijama, Dries Van Noten meraikan kemeriahan dengan sulaman manik berwarna-warni, manakala KidSuper membawa sentuhan kontemporari melalui motif contengan tangan. Setiap jahitan menceritakan kisah, menjadikan sulaman sebagai fokus utama dalam naratif fesyen musim ini.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down