LANGGAN

Adakah Pemain Tenis Lebih ‘Influential’ Daripada Bintang Filem Atau Atlet Sukan Lain?

Sport of Kings
Published: April 1, 2026

Game, Set dan Fesyen. Atlet sukan sebagai duta jenama bukanlah sesuatu yang baharu. Tetapi, adakah pemain tenis lebih ‘influential’ daripada bintang filem mahupun atlet sukan lain? 

lorenzo musetti

Awal Januari lalu ketika sedang melayari Instagram, perhatian saya tertarik pada sebuah video Aryna Sabalenka yang sedang bermain tenis di atas sebuah rooftop dengan latar garis langit New York. Namun, bukan raket atau pergerakannya yang mencuri fokus, sebaliknya, gaun monogram Gucci dengan rambu dramatik yang dipadankan bersama kasut tumit tinggi dan anting-anting berlogo. Kapsyen ringkas berbunyi, “Welcome to the Gucci family, Aryna.” Detik itu mencetuskan satu persoalan, sejauh mana pengaruh tenis terhadap dunia fesyen hari ini?

Bagai aur dengan tebing, tenis dan fesyen sememangnya sukar dipisahkan. Pada pendapat saya, tenis adalah antara sukan paling fashion-forward. Ia sarat dengan elemen prestij, suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘sport of kings’, menjadi pilihan keluarga diraja dan golongan bangsawan Eropah sekitar abad ke-12 hingga ke-16 di Perancis dan England. Tidak hairanlah, sehingga kini rekaan pakaian tenis kekal rapi, klasik dan berakar kuat dalam estetika Eropah.

Sebagai peminat tenis sejak kecil, saya membesar dengan menonton kejohanan di kaca televisyen. Selain perlawanan sengit di gelanggang, mata saya sentiasa tertumpu pada apa yang digayakan pemain. Antara momen paling ikonik termasuk padanan skirt denim dan baju berperincian stud oleh Serena Williams di Terbuka Amerika Syarikat 2004, serta catsuit hitam Nike yang mencetuskan kontroversi global. Begitu juga Rafael Nadal, yang pada Terbuka Perancis 2005 memperkenalkan baju tanpa lengan bersama seluar bawah lutut. Satu gaya yang mengubah landskap pakaian sukan lelaki secara drastik.

Kuasa Generasi Tenis Muda

Hari ini, generasi baharu pemain tenis bukan sahaja menguasai gelanggang, malah turut mencorakkan dunia fesyen. Mereka diangkat sebagai wajah era semasa dan dilantik sebagai duta rumah fesyen terkemuka. Carlos Alcaraz, pemain nombor satu dunia contohnya, disunting Louis Vuitton sebagai duta pada 2023 dan menjadi wajah kempen New Formal Collection oleh Pharrell Williams.

Sebelum Aryna Sabalenka, Jannik Sinner selaku juara Grand Slam empat kali telah lebih awal menyertai keluarga Gucci. Kehadirannya di kejohanan utama sering ditemani beg duffle ikonik jenama tersebut. Bottega Veneta pula mencuri perhatian apabila melantik Lorenzo Musetti sebagai duta. Pemain Itali berusia 23 tahun itu melangkah ke gelanggang Wimbledon dengan jaket bomber intrecciato putih. Walaupun langkahnya terhenti awal, impak fesyennya tetap bergema.

Fenomena ini bukan baharu. Serena dan Venus Williams telah lama memecah konvensi, mendominasi tenis sambil memperkenalkan gaya yang berani dan jauh daripada tradisi. Terbaharu, Naomi Osaka mencipta momen fesyen tersendiri di Terbuka Australia 2026 dengan rekaan khas lengkap topi bervel dan payung avant-garde oleh Robert Wun. Pemain Asia juga semakin mendapat tempat, termasuk Zheng Qinwen dari China yang kini menjadi duta Dior.

Adakah Pemain Tenis Lebih 'Influential'?

Lantas timbul persoalan, mengapa rumah fesyen mewah memilih pemain tenis sebagai duta? Adakah mereka lebih berpengaruh berbanding bintang filem? Bagi saya, jawapannya ya. Atlet terasa lebih dekat dan relatable. Mereka hadir sepanjang tahun, beraksi di pelbagai benua, bukan sekadar muncul ketika musim anugerah atau tayangan perdana. Aura perjuangan dan disiplin mereka nyata memberi inspirasi yang tulen.

Pengaruh atlet juga bersifat jangka panjang. Saya masih mengingati keterujaan menghadiri LifeWear Day di Museum of Modern Art (MoMA), kota New York tahun lalu dengan Roger Federer sebagai panel jemputan. Selepas menamatkan kerjasama bersama Nike, legenda tenis itu dilantik sebagai duta global UNIQLO pada 2018. Walaupun telah bersara, kolaborasi tersebut kekal relevan, membuktikan bahawa karisma seorang atlet tidak terhenti bersama penamat kariernya.

Walaupun tenis sering dikaitkan dengan warisan dan prestij, jenama mewah melihatnya sebagai medium kontemporari yang kekal segar. Peminat sukan datang dari seluruh dunia, merentas generasi. Dan dalam era digital hari ini, naratif baharu tercipta di mana gaya hidup, sukan dan fesyen bertemu tanpa sempadan. Generasi baharu tidak lagi memisahkan estetika atletik dan fesyen; sebaliknya, mereka menyatukannya dengan lebih bebas, berani dan autentik.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down