
Tommy Hilfiger baru sahaja mencatat ‘touchdown’ yang mudah. Hari ini, perintis gaya American prep itu mengumumkan Travis Kelce sebagai duta jenama global terbaharu serta rakan kolaborasi kreatif mereka.
Bagi yang hanya mengenali Travis Kelce sebagai tunang Taylor Swift, ini sedikit latar belakangnya: Pemain Kansas City Chiefs ini adalah juara Super Bowl tiga kali dan veteran NFL selama 14 tahun. Selain pencapaian dalam sukan, kepribadiannya yang santai tetapi bergaya menjadikannya ikon bagi lelaki yang ingin menaik taraf penampilan. Travis sebenarnya sudah pun berpengalaman dalam bidang ini. Tahun lepas, dia bekerjasama dengan American Eagle melalui jenama pakaian peribadinya, Tru Kolors yang diasaskannya pada tahun 2019.
Bagi Tommy Hilfiger, Travis akan menjadi wajah kempen Musim Luruh 2026 jenama itu, diikuti dengan kolaborasi rekaan pada Musim Bunga 2027, di mana Travis bakal membawa sentuhan istimewanya (serta jutaan peminatnya) kepada jenama pakaian sukan Amerika berusia 41 tahun itu.
“Travis Kelce adalah salah satu figura paling memikat dalam sukan dan budaya pada hari ini,” kata Tommy Hilfiger dalam satu kenyataan. “Dia berada di barisan hadapan bagi atlet generasi baharu yang mengekspresikan diri melalui gaya.”
Bagi Travis pula, hubungan dengan jenama itu sangat peribadi. “Sejak zaman sekolah menengah, semenjak saya meminta ibu saya untuk membeli jaket Sailing Gear daripada Tommy Hilfiger, saya sudah tertarik dengan gaya berkeyakinan jenama ini,” ujarnya.
Kolaborator Tommy Hilfiger sebelum ini termasuk Zendaya, Gigi Hadid, Lewis Hamilton dan Rafael Nadal. Namun, dengan karisma semula jadi Travis serta perkahwinannya yang bakal berlangsung dengan Taylor Swift, kerjasama ini seperti bakal mencipta impak yang besar.
Artikel diterjemah daripada ELLE USA