Bintang Thailand, Tawan Vihokratana dipilih sebagai wajah wakilan terbaharu selaku duta jenama untuk rumah fesyen Sepanyol, Loewe.
Bintang negara seberang terus menguasai pentas fesyen antarabangsa. Kali ini, Loewe telah mengumumkan Tawan Vihokratana sebagai duta jenama terbaharu mereka. Dia mengikuti jejak langkah bintang Hollywood seperti Jamie Dornan dan juga Josh O’Connor yang membintangi kempen Loewe untuk Fall Winter 2025.
Lebih popular dengan nama panggilan Tay Tawan, Tawan Vihokratana merupakan seorang aktor, model dan pengacara popular dari Thailand. Dia mula dikenali melalui persembahan debutnya dalam ‘Kiss: The Series’ yang telah mengangkat namanya selaku bintang muda terbaharu. Tidak lama lagi, dia bakal membintangi siri televisyen baru, ‘A Dog and a Plane’, selain adaptasi Thai daripada ‘Scarlet Heart’.
Pelantikan Tay Tawan selaku duta jenama untuk Loewe bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Selain mempunyai jutaan peminat di Thailand dan seluruh rantau Asia, sisi fesyennya juga mencuri perhatian ramai. Dia pernah menghadiri pertunjukan Loewe untuk Fall Winter 2025 di kota Paris. Dia turut menjadi tetamu jemputan untuk pameran Crafted World yang diadakan di Shanghai, China.
Tidak hanya berbekalkan wajah yang kacak, Tawan Vihokratana merupakan pelakon Thai yang berbakat. Di bawah naugan GMMTV, namanya sangat sinonim dengan ‘Dark Blue Kiss’ dan juga adaptasi ‘Cherry Magic: The Series’ yang ditayangkan pada 2023. Tay Tawan juga pernah memenangi beberapa anugerah dan penghargaan. Antaranya Maya Award untuk kategori Best Official Sountrack pada 2020, Kazz Awards untuk Rising Male Star pada 2023, serta Japan Expo Actor Award pada tahun ini.
“It’s been an honour to grow alongside Loewe over the years. Collaborating closely with the brand has deepened my admiration for its artistry and inspired new paths of self-expression. I’ve come to truly value the essence of art and craft that defines Loewe, and I’m excited to continue this meaningful journey as brand ambassador.” - Tay Tawan