Kesejarahan lama tidak berjeda di pertengahan. Namun, berbancuhan dengan kebaharuan dan larut dalam kesatuan. Jonathan Anderson mengepalai DIOR Musim Dingin 2026, membelah warisan menerusi lensa kontemporari. Naratif bersusun rapi – daripada setiap helaian sehinggalah ke aksesori beg yang menjadi item mesti ada musim ini.

Titik Jonathan Anderson tidak terputar ke belakang. Jonathan berada dalam euforia. Keingintahuan intelek tentang warisan atau sejarah memupuk daya kreatifnya untuk menyulam tafsiran semula. Daripada memilih untuk bermetamorfosis, sebaliknya dia memperhebat rekaan dengan menyilang yang lama dengan yang baharu.

Dior Musim Dingin 2026 adalah kebebasan sang flâneur tidak berpenghujung. Ia adalah tentang bibit-bibit semangat anak-anak generasi baharu celik budaya serta kebijaksanaan mewadahi keberanian yang mensintesiskan kontra. Couture dengan utility, tailoring dengan aspek kesukanan, mengusik seragam aristokratik dengan kemudaan dan kraf jalinan sentuh seperti sulaman pada aspek maskulin. Ia malah mengunjungi estetika si couturier, Paul Poiret yang tidak gentar menerap konsep silang budaya dan menghidupkan rekaan-rekaan fluid, lantas menjadi katalis kepada adicita Jonathan.
Dior musim ini menghidangkan permintaan idea baharu yang tercetus daripada sejarah. Sejalur dengan kelangsungan idea percanggahan dalam seni pemakaian namun cohesive. Keformalan dibalas oleh sifat bersahaja, menemukan kemewahan dengan sifat praktikal dan menerbitkan rasa leluasa pada aspek maskulin. Latar ilham ini menata sebuah dialog yang membutirkan bicara tentang kekinian Dior. Dan sebagaimana Jonathan ‘berdialog’ dengan ilham rekaannya musim ini, prinsip yang sama juga menjadi tafsiran pada aksesori – terutamanya dua rangkaian beg lelaki yang hadir sebagai tunjang dalam naratif himpunan ini. Apa yang terangkum adalah lanjutan adicita kemewahan baharu Jonathan. Rekaan kedua-dua beg ini tampil bersahaja dari segi siluet, namun menyirat nilai kraf tertinggi.

Ia dikira sebagai ‘It Bag’ Musim Dingin 2026. Apalagi, Jonathan melangsungkan aspek estetika dengan kemanfaatan. Kefungsian dan kecirian elegan berpadu. Integriti sang flaneur terpelihara, namun membayangkan sisi praktikal dan identiti Dior tetap dipedulikan. Contohnya, kemasan kulit serta motif Cannage yang mengekalkan inti makna tradisi Maison. Pernyataan yang terpamer pada rekaan beg ini adalah kecelikan sang flaneur yang mendukung tinggi sifat rekaan, proporsi, kesenian serta mutu binaan.

Tactile atau jalinan sentuh menjadi kecirian utama beg ini. Apa yang terlihat adalah tampilan serta ciptaan yang ekspresif. Rekaan beg ini yang berteraskan tekstur malah setujuan dengan matlamat Jonthan untuk menghidupkan visual tekstur pada pakaian sedia pakai Dior Musim Dingin 2026 – seperti penggunaan material tweed Donegal atau jacquard – lantas menyambung dialog ilhamnya. Ia mencorakkan makna mewah dalam tafsiran kontemporari dan pada masa yang sama, nilai kraf diberi keutamaan.